PUTRAJAYA: Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah optimis mampu meneruskan momentum cemerlangnya menjelang pusingan seterusnya pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Motegi, Jepun, minggu depan.
Hafizh berkata, persiapannya kini berjalan lancar dengan tumpuan diberikan kepada latihan harian selain proses penyesuaian diri terhadap jentera baharu Ducati yang diuji di Itali, baru-baru ini.
“Ujian yang kami lakukan sangat positif. Ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki terutama dari segi elektronik, tetapi secara keseluruhannya pengendalian jentera baharu lebih baik berbanding motosikal lama,” katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan duta UMA Racing dan atlet di bawah naungan RCB di sini, kelmarin.
Untuk rekod, pelumba JDT Racing Team itu kini mendahului senarai keseluruhan pelumba kategori utama ASB 1,000 selepas mengumpul 100 mata.
Bekas pelumba MotoGP itu menjelaskan, dia tidak berdepan masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan jentera Ducati V4R kerana pernah menunggang model V4S sebelum ini.
Katanya lagi, perbezaan utama dengan jentera lama adalah melibatkan kuasa enjin, kotak gear dan sistem elektronik, namun hasil ujian bersama Barni Racing Team di Litar Cremona cukup memberangsangkan.
Mengulas pula mengenai sasaran di Motegi, Hafizh berazam mengulangi kejayaan kemenangan berganda yang dicatatnya sebelum ini, selain mahu terus bersaing di kelompok hadapan walaupun bakal dicabar beberapa pelumba ‘wildcard’ Jepun.
“Saya cuma perlu kekalkan momentum yang sama seperti dalam dua pusingan terdahulu,” ujarnya.
Sementara itu, Hafizh turut teruja apabila dipilih sebagai wakil Asia untuk beraksi dalam acara World Ducati Week di Misano, Itali.
Pelumba itu menyifatkan peluang tersebut sebagai sesuatu yang tidak pernah diimpikan sebelum ini kerana bakal bersaing dengan barisan pelumba ternama Ducati termasuk Marc Marquez dan Francesco Bagnaia.
“Ini satu penghormatan besar. Saya akan cuba memberikan yang terbaik dan membawa nama Malaysia sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN










