10,506 pelajar B40 terima manfaat bantuan pendidikan YPM

10,506 pelajar B40 terima manfaat bantuan pendidikan YPM

MAHDZIR Khalid bersama Pengerusi YPM, Datuk Mohd. Razman Yaacob (tengah) menyampaikan komputer riba kepada pelajar pada Program Pendidikan YPM Daerah Padang Terap, hari ini. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seramai 10,506 pelajar B40 di negeri ini menerima manfaat bantuan pendidikan di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan lebih RM1.8 juta sepanjang tahun ini.

“Usaha ini perlu dilaksanakan bagi memastikan anak-anak luar bandar terutamanya daripada golongan B40 tidak keciciran dalam pelajaran selain meringankan tanggungan ibu bapa,” katanya pada Program Pendidikan YPM Daerah Padang Terap di sini, hari ini.

Jelas Mahdzir, antara bantuan disalurkan adalah Skim Bantuan Persekolahan, Dana Ehsan Pendidikan, Program Tuisyen Pintar, Program Kecemerlangan Modal Insan, Skim Anak Angkat dan Pembiayaan Pendidikan Tertiari.

Katanya, Program CSR YPM turut melibatkan Unimara dan Rural Capital Berhad (RCB) sebagai penyumbang disamping kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap.

“Bagi pihak YPM saya mengucapkan terima kasih kepada semua badan-badan korporat yang telah menyumbang dana bagi pelaksanaan program-program pendidikan pelajar di luar bandar.

“Saya menyeru agar lebih banyak badan-badan korporat atau invididu tampil untuk menyalurkan sumbangan kepada YPM bagi merancakkan lagi pelbagai program CSR YPM yang lain,” katanya.

Sementara itu, seramai 693 pelajar dan 75 keluarga B40 di Padang Terap menerima sumbangan berbentuk bantuan persekolahan wang tunai dan komputer riba, manakala tiga buah sekolah menerima sumbangan tunai berjumlah RM5,000 bagi setiap sekolah.

Pada majlis sama, Mahdzir menyaksikan tiga penyerahan replika cek sumbangan bantuan persekolahan YPM bernilai RM95,000, bantuan keluarga pelajar asnaf UNIMARA sebanyak RM18,700 dan sumbangan keluarga asnaf RCB berjumlah RM17,500.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN