Wanita berpurdah cuba terjun Jambatan Sultan Yahya Petra

Wanita berpurdah cuba terjun Jambatan Sultan Yahya Petra

ORANG ramai sedang memujuk seorang wanita yang cuba terjun dari jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan. - FOTO/IHSAN FACEBOOK HELLO KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang wanita yang memakai jubah dan berpurdah membatalkan niatnya untuk cuba terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini selepas dipujuk oleh orang awam.

Wanita berusia 54 tahun berasal dari Pengkalan Chepa di sini dipercayai cuba untuk memanjat tembok jambatan itu kira-kira pukul 1.40 tengah hari tadi sebelum diselamatkan oleh pengguna jalan raya.

Saksi kejadian, Suhaila Zakaria, 28, berkata, ketika itu, dia melalui jambatan itu dengan menunggang motosikal sebelum melihat beberapa orang lelaki menahan dan memegang wanita tersebut yang sedang menangis.

Menurutnya, dia terus memberhentikan motosikalnya sebelum bergegas memeluk wanita terbabit sambil menyuruhnya mengucap dan bersabar.

“Semasa memeluknya, saya sempat bertanya apa yang membuatkan dia mahu terjun dari jambatan itu, namun wanita itu hanya menangis dan mengatakan dirinya jahat.

“Semasa memujuknya, saya sempat menasihatkan wanita itu agar berfikiran waras meskipun mempunyai masalah besar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Suhaila memberitahu, selepas 15 minit dipujuk, kenderaan polis yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan berhenti lalu mengambil wanita itu.

Katanya, pada masa sama, jentera bomba turut sampai di lokasi kejadian, namun wanita itu sudah dibawa anggota polis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 1.45 tengah hari.

Katanya, tujuh anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira pukul 2.05 petang.

“Sebaik tiba, kita dapati wanita terbabit sudah dibawa oleh kenderaan polis,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya