Wang RM2.23 bilion 'mencurah masuk' ke akaun Najib - Utusan Malaysia

Wang RM2.23 bilion ‘mencurah masuk’ ke akaun Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, sejumlah RM2.23 bilion ‘mencurah masuk’ ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk daripada dua syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian Ambank, Yap Wai Keat, 57, berkata, sejumlah RM2.17 bilion diterima daripada Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance Corp. di antara 2012 dan 2013.

Jelas saksi pendakwaan ke-38, Tanore Finance Corp. mendepositkan sejumlah RM2.08 bilion ke dalam akaun bekas Perdana Menteri melalui sembilan transaksi manakala Blackstone memasukkan sebanyak RM90.89 juta.

Tanore ialah syarikat yang dikawal oleh sekutu perniagaan Jho Low, iaitu Eric Tan Kim Loong.

Wai Keat berkata, sejumlah RM60.6 juta didepositkan ke dalam akaun Najib oleh kerabat Diraja Arab Saudi, Putera Faisal Turkey Bandar Al Saud melalui dua transaksi pada Februari dan Jun 2011.

Saksi berkenaan menyatakan demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.

Pada perbicaraan itu, Wai Keat berkata, maklumat berhubung wang yang akan dipindahkan disampaikan oleh Bahagian Kiriman Wang Ambank dan Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu bagi membolehkan maklumat itu dipanjangkan kepada Najib.

Ujar saksi, Joanna mengarahkannya melaksanakan penukaran wang daripada USD kepada MYR selepas mendapat kelulusan daripada pelanggan.

“Selepas itu, jabatan saya memasukkan data yang berkaitan ke dalam sistem yang dikenali MUREX di mana penukaran dilakukan mengikut kadar yang dipersetujui seperti dalam kontrak.

“Kemudian, jabatan saya menghubungi Bahagian Kiriman Wang dan memaklumkan nombor kontrak dan kadar pertukaran.

“Dalam hal ini, jabatan saya bertindak mengikut arahan seperti yang diarahkan oleh Joanna selepas menerima arahan daripada pelanggan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Wai Keat memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib, 69, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.