ALOR SETAR: Semua ahli Pas diseru menyokong calon-calon komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perwakilan Pas Johor, Dr. Karim Deraman membuat seruan itu kerana mendapati ada ahli dan penyokong Pas yang tidak mengundi calon diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
Katanya, perkara itu berlaku kerana ahli-ahli Pas tidak akur kepada keputusan pucuk kepemimpinan parti.
“Dalam PRN Johor lepas, ada ahli yang tidak wala’ (kecintaan dan kesetiaan) dan tidak tsiqah (percaya) pada pimpinan.
“Bila dah putuskan calon, ada yang tidak mengundi calon itu atau tidak mengundi parti yang telah diputuskan pimpinan seperti calon Bersatu khususnya di Johor.
“Ini menyebabkan ada beberapa kawasan sepatutnya menang, kita hanya dapat satu kerusi, sepatutnya dua. Oleh kerana ada ahli yang belot, tidak tsiqah pada pimpinan, tidak taat dan patuh pada pimpinan,” katanya dalam perbahasan Muktamar Pas Ke-68 di sini, hari ini.
Oleh itu, beliau menggesa semua ahli Pas patuh kepada keputusan parti dan mengundi calon-calon parti lain.
“Kita dalam PN kena ingat tak semua kerusi kita bertanding, ada dari Bersatu dan Gerakan. Menjadi kewajipan kita untuk memenangkan mereka,” katanya. – UTUSAN











