'Ustaz Nizam' mengaku bersalah pindah wang haram - Utusan Malaysia

‘Ustaz Nizam’ mengaku bersalah pindah wang haram

MOHD. Nizam Noh dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM295,550.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang pengarah syarikat pelancongan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM295,550.

Tertuduh, Mohd. Nizam Noh, 49, yang digelar sebagai ‘Ustaz Nizam’ membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norsiah Ujang. 

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd. Nizam pada 17 Mac 2019 dan 19 September 2019 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Sungai Rengit memindahkan wang berjumlah RM184,100 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa milik Massnizam Group Travel & Tour Sdn. Bhd., yang ketika itu tertuduh merupakan pengarah syarikat memasukkan wang tersebut ke dalam akaunnya sendiri.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 11 November 2019 dan 13 November 2019 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kota Tinggi, bapa kepada tujuh orang anak itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM50,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun Massnizam Group Travel & Tours Sdn. Bhd. juga ke dalam akaunnya sendiri.

Pertuduhan ketiga, tertuduh pada 12 April 2019 di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Kota Tinggi memindahkan wang berjumlah RM17,450 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun Tetuan Massnizam ke dalam akaun semasa milik Massnizam Group Travel & Tours Sdn. Bhd.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh yang mempunyai dua orang isteri pada tarikh 15 Oktober 2019 dan 12 November 2019 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kota Tinggi memindahkan wang berjumlah RM44,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun Massnizam Group Travel & Tours Sdn. Bhd. ke akaun simpanan milik isteri keduanya, Massuzah Zakaria, 47.

Bagi semua pertuduhan, Mohd. Nizam didakwa melakukan kesalahan di bawah Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang juga boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) Akta yang sama dibacakan bersama Subseksyen 87 (1)(a) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. 

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni meminta mahkamah untuk menetapkan tarikh lain bagi penyediaan dokumen-dokumen berkaitan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Norazihah turut mencadangkan wang jaminan sebanyak RM50,000 ke atas tertuduh ekoran kesalahan yang dilakukan melibatkan jenayah berat, iaitu pengubahan wang haram. Walau bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana tidak mampu.

Norsiah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada pihak mahkamah. Beliau juga menetapkan 28 September depan sebagai tarikh untuk mengemukakan fakta dan hukuman.

Difahamkan tertuduh ditahan semalam di Terengganu selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan pakej umrah yang membabitkan 104 mangsa di Johor, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah dengan jumlah kerugian sebanyak RM3.28 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya