KUALA LUMPUR: UMNO bukan sebuah parti jumud sehingga menolak kerjasama dengan parti politik lain bagi membentuk kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ini kerana formula kestabilan dalam sesebuah kerajaan tidak semestinya parti yang mentadbir emperoleh dua per tiga, tetapi perlu lebih dominan dan diyakini parti itulah Barisan Nasional (BN).
“Jika diteliti ucapan dasar Presiden UMNO pada PAU 2020, beliau mengatakan, ‘Pasca pilihan raya umum, kita sedia berunding dengan sesiapa sahaja (parti politik) untuk membentuk kerajaan’, namun UMNO perlu dominan dan barulah kita relevan.
“Kita harus berlapang dada untuk mendepani ‘reset’ (pemetaan semula) politik. Maka UMNO dan BN tidak jumud. Ia mampu bergerak dan bertindak mengikut keperluan semasa dan peredaran zaman,” katanya semalam.

Untuk rekod, UMNO/BN bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor selepas Pas memilih meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN).
Hasilnya, BN menang besar kedua-dua pilihan raya berkenaan yang mana di PRN Melaka, parti itu menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan sementara di Johor pula, UMNO menang 33 kerusi DUN, sekali gus membolehkan parti itu memerintah Johor secara solo.
Pada PRU 15 pula, UMNO menegaskan yang parti tersebut kekal bertanding solo namun dalam masa yang sama, pelbagai usaha dibuat parti lain untuk berunding dan menjalinkan kerjasama sebelum PRU supaya tidak berlaku pertembungan di beberapa kerusi yang berisiko jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).
Malah, pada Muktamar Pas baru-baru ini, parti tersebut masih menyuarakan hasrat sama untuk mencari titik persefahaman antara Pas dan UMNO yang dilihat sukar kerana Pas bekerjasama dengan Bersatu.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki, kegagalan UMNO dan Pas bermuafakat untuk mengelak pertembungan antara kedua-dua parti di 27 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada PRU-15 boleh menyebabkan PH kembali berkuasa.
Namun sehingga hari ini, tiada kenyataan rasmi dari pemimpin UMNO berhubung perkara tersebut. – UTUSAN











