Kerugian Tragedi Iboi RM28 juta

Kerugian Tragedi Iboi RM28 juta

iboi
KESAN banjir dan aliran puing pada 4 Julai lalu yang mengakibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM28 juta di beberapa kampung di Kupang, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kejadian aliran puing dan banjir lumpur di Kupang, Baling dekat sini yang turut meragut nyawa tiga sekeluarga pada 4 Julai lalu, dianggarkan menyebabkan kerugian berjumlah RM28 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, angka itu diperoleh menerusi bancian dijalankan sebuah jawatankuasa ditubuhkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah itu.

Katanya, sebanyak 80 pembanci turun ke setiap rumah terjejas berdasarkan laporan polis diterima berhubung kejadian itu.

“Secara keseluruhannya terdapat 900 laporan polis diterima selepas kejadian itu berlaku namun ada antara laporan tersebut didapati bertindih.

“Maka, pembanci turun dari rumah ke rumah dan mendapati anggaran kerugian dari segi infrastruktur, kediaman, kenderaan dan harta benda berjumlah RM28 juta. Nilai kerugian untuk kejadian limpahan air bagi kali kedua dan ketiga yang berlaku baru-baru ini, belum saya terima,” katanya selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Muhammad Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri telah memulakan proses pengambilan semula tanah di Baling, untuk pembinaan rumah baharu bagi 17 keluarga yang berada dalam zon kuning berhampiran Sungai Kupang.

Menurutnya, kesemua rumah itu akan dibina di Kampung Seniyek yang terletak kira-kira tiga atau empat kilometer dari Kampung Iboi.

“Semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Baling pada 1 September lalu, beliau telah meluluskan peruntukan khas bagi pengambilan balik tanah untuk dan mendirikan 17 rumah berjumlah kira-kira RM4 juta.

“Maka proses itu telah kita mulakan. Saya berharap agar perkara tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin kerana penduduk sekitar Sungai Kupang itu sentiasa dihantui kebimbangan ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, kerja-kerja mendalamkan sungai sentiasa dijalankan tanpa henti.

“Tetapi pelaksanaan tugas itu akan mengambil masa yang lama. Kita dimaklumkan, kerja mengorek pasir itu walaupun dilakukan dalam tempoh dua atau tiga tahun sekali pun, mungkin belum dapat sampai ke dasar asal sungai berkenaan seperti sebelum kejadian pada 4 Julai.

“Kalau biasa lalu kawasan tersebut sebelum kejadian itu, semua orang tahu kedalamannya tidak kurang daripada 3 meter berbanding apa yang dilihat sekarang. Sehingga kini kerja-kerja itu masih berjalan dan kerajaan negeri melantik Permodalan Kedah Berhad (PKB) bagi memindahkan pasir yang dikorek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari sungai tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN