Tidak perlu takut ulas keputusan mahkamah

Tidak perlu takut ulas keputusan mahkamah

MOHD. ZAID IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim berkata, rakyat biasa tidak perlu takut untuk mengulas keputusan mahkamah dengan syarat ia dilakukan dengan niat baik.

Beliau berkata, badan kehakiman seharusnya bersikap lebih terbuka serta menerima segala perbincangan ‘terus-terang’ mengenai keadilan untuk meningkatkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang di negara ini.

“Setiap institusi negara ini perlu terbuka termasuk apabila keputusan menjadi bualan rakyat…Ini adalah demokrasi. Badan kehakiman juga sama seperti cabang kerajaan lain, mesti boleh diakses secara sama-rata.

“Jika kita mengharapkan kebertanggungjawaban daripada ahli politik dan eksekutif, jika kita benci kezaliman ahli politik, kita harus (sama-sama) pendekatan yang sama mencela kezaliman badan kehakiman.

“Saya juga saya bimbang tentang kenyataan jika anda bukan seorang peguam atau tidak mempunyai minda terlatih mengenai undang-undang atau tidak mempunyai kedalaman intelektual hakim, maka anda tidak dibenarkan membuat komen,” katanya dalam klip video di laman Facebooknya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menggesa masyarakat awam dan ahli politik membaca dan memahami alasan penghakiman bagi sesuatu kes yang diputuskan mahkamah terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan dan menyerang sistem kehakiman.

Tengku Maimun berkata, kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman, terutama selepas keputusan mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berdasarkan sentimen semata-mata.

Tegas Tengku Maimun lagi, komen dan serangan yang dibuat menunjukkan mereka tidak membaca alasan penghakiman serta tidak memahami undang-undang, sekali gus membawa kepada kenyataan dan ulasan tidak relevan.

Mengulas lanjut, Zaid yang juga pemilik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) berkata, polemik untuk menegakkan keadilan dalam sesuatu kes pastinya mengundang pandangan berbeza dalam kalangan masyarakat.

“Yang menang ada pandangannya sendiri dan yang kalah juga mempunyai pandangan dan penderitaan sendiri. Apa pun, dalam wacana ini perlu ada sedikit kerendahan hati serta pemahaman tentang kedudukan masing-masing.

“Kita semua manusia. Sudah tentu, hakim istimewa. Tetapi mereka tidak begitu istimewa sehingga terlepas daripada kesilapan dan kegagalan manusia biasa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN