KUANTAN: Sejak 2012 harga komoditi getah mula mengalami ketidaktentuan, terus merudum di pasaran dan melalui zaman ‘gelapnya’ yang berterusan sehingga ke saat ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang lelaki yang 20 tahun menjalankan kerja itu, Azmi Nordin, 41, berkata, penoreh getah bukan golongan peminta sedekah, sebaliknya mempunyai hak yang perlu dilunaskan kerajaan.
Katanya, apa mengecewakan sehingga kini tiada siapa pun yang mempertahan nasib penoreh getah termasuk kerajaan yang seolah-olah tidak ambil kisah nasib mereka.
“Sekarang, penoreh getah yang terdiri daripada orang kampung sudah tak ambil peduli bab harga getah. Tetap sama, tiada perubahan pun dari dulu sampai sekarang. Itulah harganya, sekarang sudah tahun 2022, harga tetap sama.
“Ini bukan kecewa kerana jika kecewa pun kami tetap kena menoreh. Walaupun harga getah macam mana sekalipun, tetap kena menoreh kerana itulah sumber pendapatan utama kami untuk menyara anak dan isteri,” katanya di sini semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, ketidaktentuan harga getah di pasaran yang disifatkan masih di tahap rendah terus menghantui lebih 200,000 pekebun kecil getah seluruh negara.
Azmi berkata, sehingga kini tiada keistimewaan atau pembelaan diterima golongan penoreh getah yang seolah-olah tiada jasa kepada negara.
Menurutnya, mereka tidak menikmati gaji minimum RM1,500 begitu juga bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sepertimana diterima penjawat awam.
Seorang lagi penoreh, Rompin Simpoi, 30, pula berkata, pekebun kecil dan penoreh getah ketika ini terus bergelut dengan harga jualan komoditi itu yang rendah ditambah hasil getah sekerap yang tidak menentu akibat faktor cuaca yang mempengaruhi kuantiti susu getah.
“Kami sama seperti rakyat lain mempunyai komitmen kewangan yang perlu dikeluarkan setiap masa ,misalnya untuk perbelanjaan sekolah anak-anak, rawatan kesihatan, bil utiliti, membeli keperluan dapur dan perbelanjaan lain-lain.
“Pendapatan kami setara itu, tapi harga barang terus melonjak naik dan membebankan. Bantulah kami, naikkan harga getah sekurang-kurangnya RM5 sekilogram, barulah ia dapat menampung keperluan yang cukup mendesak pada ketika ini,” katanya.
Sementara itu, seorang penoreh getah dari Kampung Basung, Ahmad Kamal, 48, Hulu Terengganu, Terengganu berkata, nasibnya diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana dia juga tidak dapat menoreh seperti biasa ekoran faktor cuaca tidak menentu.
“Keadaan harga barang meningkat kini benar-benar membuatkan saya sukar ‘bernafas’ dengan harga getah hari ini. Mujur duit pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini masih ada untuk tampung belanja saya, isteri dan seorang anak berusia 12 tahun,” katanya. – UTUSAN










