KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) ekoran tekanan darahnya tidak stabil.
Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, bekas Perdana Menteri kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam selepas tekanan darahnya tidak menentu tanpa diketahui punca.
Peguam bela berkata, beliau dimaklumkan bahawa kemungkinan anak guamnya perlu menjalani ujian tertentu selama beberapa hari yang tidak memungkinkan perbicaraan hari ini dan esok, dijalankan.
Jelas Muhammad Shafee, besar kemungkinan Najib akan dirujuk ke IJN bagi menentukan punca yang menyebabkan tekanan darahnya turun naik secara tidak stabil.
Sehubungan itu, beliau memohon perbicaraan hari ini ditangguhkan hingga esok bagi mendapat maklum balas berhubung tahap kesihatan Najib.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P. Kunyalam tidak membantah penangguhan kes.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan esok bagi membolehkan mahkamah mengetahui perkembangan kesihatannya.
Ketika ditemui pihak media selepas prosiding ditangguhkan, Muhammad Shafee memaklumkan Najib akan dirujuk ke IJN hari ini.
Terdahulu, Muhammad Shafee menarik perhatian mahkamah bahawa beliau perlu mendapat arahan daripada Najib secara langsung meskipun tiada pihak dibenarkan melawat beliau pada peringkat ini.
Muhammad Shafee menegaskan, selaku peguam bela, beliau mempunyai hak untuk mendapat arahan langsung daripada anak guamnya kerana beliau bertanggungjawab memberi maklum kepada mahkamah.
Hakim Collin kemudian meminta kepastian sama ada peguam bela mahukan arahan daripada mahkamah untuk bertemu Najib.
Muhammad Shafee bagaimanapun menyatakan tindakan itu hanya akan meletakkan Hakim Collin dalam keadaan ‘janggal’.
“Saya menyatakan bahawa selaku peguam bela saya perlu mendapatkan arahan langsung daripada anak guam untuk memberitahu perkembangan beliau kepada mahkamah,” jelasnya.
Perbicaraan kes Najib yang dijadualkan hingga Khamis turut ditangguhkan semalam selepas mahkamah diberitahu, Najib perlu dirujuk ke Hospital Kajang dekat sini bagi menerima rawatan ekoran keadaan kesihatannya yang agak teruk.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pegawai penjara memaklumkan kepadanya bahawa ubat tekanan darah tinggi yang diambil oleh bekas Perdana Menteri ditukar sehingga memberi kesan kepada tahap kesihatannya.
Sehubungan itu, Sri Ram memohon perbicaraan terhadap Najib pada sebelah petang ditangguhkan bagi membolehkan beliau menerima rawatan di hospital pada pukul 2 petang.
Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN