PUTRAJAYA: Sebanyak 11,260 notis telah dikeluarkan kepada pemilik premis di seluruh negara sebagai langkah mendidik dan memastikan tindakan pembetulan dibuat sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, notis berkenaan dikeluarkan hasil pemeriksaan keselamatan kebakaran yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke atas bangunan serta premis berisiko.
Menurutnya, pendekatan itu bukan bertujuan menghukum, sebaliknya memberi kesedaran dan peluang kepada pemilik premis untuk mematuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan.
“JBPM sentiasa mengamalkan pendekatan pencegahan dengan memberi ruang dan masa kepada pemilik bangunan untuk memperbaiki kelemahan dikenal pasti mengikut arahan yang dikeluarkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jentera Bomba dan Ops Siaga Raya Tahun 2026 di sini, hari ini.
Katanya, tindakan undang-undang hanya akan diambil sekiranya pemilik premis gagal mematuhi notis dan arahan keselamatan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kita tidak mahu bertindak selepas tragedi berlaku kerana ketika itu segalanya sudah terlambat. Prinsip kita jelas, pencegahan mesti dilakukan lebih awal demi melindungi nyawa dan keselamatan orang ramai,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu JBPM telah menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 21,000 bangunan di seluruh negara, melepasi sasaran awal sebanyak 18,000 pemeriksaan.
Katanya, pemeriksaan itu melibatkan pelbagai jenis premis termasuk bangunan komersial, kediaman bertingkat serta premis awam yang berisiko tinggi berlaku kebakaran.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan negara telah mengalami kerugian harta benda sebanyak RM2.24 billion akibat daripada bencana kebakaran pada tahun lalu.
“Sasaran kita, kita nak pastikan angka itu terus menunjukkan penurunan. Walaupun lebih banyak projek sedang dijalankan tapi langkah-langkah dan keselamatan dan kesedaran itu wajib kita pupuk bersama,” katanya. – UTUSAN










