Tafsir sendiri, kata Sanusi status berkaitan bola di Facebook

Kalau ‘terkoyak’, pandai-pandailah tampal – Sanusi

sanusi
MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan beberapa status yang dimuat naik di Facebooknya kebelakangan ini hanyalah seloka dan gurauan semata-mata tanpa ada kaitan dengan mana-mana pihak.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, seloka serta gurauan yang dimuat naiknya itu bagaimanapun terselit mesej tertentu untuk dijadikan bahan berfikir. 

“Tafsir sendiri-sendirilah (status dimuat naik di Facebook), tak ada kaitan dengan yang hidup dan mati. Semua hantaran itu seloka dan gurauan saja tetapi ada selit mesej dan bahan untuk berfikir. 

“Janganlah kita seronok kerana menang dan berdukacita kerana kalah tanpa memikirkan ibrah atau pengajaran daripada kejadian itu. Kena fikir dan renung balik yang menang siapa dan yang kalah siapa? 

“Selain itu kena tengok juga kenapa kita kalah dan pasal apa kita menang? Begitu juga macam mana boleh menang?,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. 

Beberapa status dimuat naik Muhammad Sanusi kebelakangan ini menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air setelah beliau secara berterus-terang menyatakan sokongannya kepada Terengganu FC dalam final Piala FA menentang JDT, Sabtu lalu. 

Selepas mengucapkan tahniah sambil menempelak pemain JDT kerana didakwa tidak pandai cakap dialek Johor, Muhammad Sanusi hari ini menukilkan pula pantun berbunyi: 

“Kalau takut dilambung ombak,

Jangan berumah di tepi pantai,

Disangka ayamnya menang pak kadok melompat bersorak,

Disuruh berkokok nak bunyi eerrkkk! pun tak pandai.”

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak mempunyai niat untuk memecahbelahkan mana-mana pihak dengan status-status dimuat naiknya itu. 

“Tak adalah (niat memecah-belah), nak pecah belahkan siapa? Siapakah yang terpecah dan terbelah dengan pantun itu? Itu cuma bahan berfikir. Harap-harap tak ada yang ‘koyak’ dan kalau ‘terkoyak’, pandai-pandailah tampal,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN