Cik Bunga pun naik pening membaca komen warganet sejak persembahan separuh akhir Anugerah Juara Lagu sudah selesai Ahad lalu. Semuanya gara-gara penampilan penyanyi Kaka Azraff yang membawakan lagu Menaruh Harapan, nyanyian asal Zaiton Sameon.
Ada pula yang laju benar menghentam, kononnya Kaka ‘merosakkan lagu’ hanya kerana lagu malar segar itu dipersembahkan dalam versi berbeza.
Bagi Cik Bunga, kalau betul-betul mahukan seratus peratus sama seperti versi asal, lebih baik panggil sahaja Zaiton sendiri naik ke pentas. Tak begitu? Nama pun persembahan istimewa, tentulah ada pembaharuan dan sentuhan tersendiri daripada penyanyi yang diberi tanggungjawab.
Kalau pihak TV3 sudah merancang dan memilih Kaka untuk membawakan lagu itu, tentunya ada sebab dan pertimbangannya. Jadi, hormatilah usaha tersebut, bukannya terus melabel macam-macam.
Terus-terang Cik Bunga dengar, okey sahaja, malah sedap juga Kaka menyampaikan Menaruh Harapan dengan gaya dia sendiri. Tiada pun kedengaran seperti ‘merosakkan lagu’ seperti yang didakwa sesetengah pihak. Kaka tetap menjaga roh lagu itu, cuma diberi nafas berbeza agar lebih segar dan sesuai dengan pentas semasa.
Ada pula yang berpendapat jangan cuba-cuba beri nafas baharu pada lagu lama. Katanya, biarlah kekal seperti asal. Kalau begitu, sampai bila industri muzik hendak berkembang? Seni ini luas, kreativiti itu penting, dan setiap penyanyi ada cara tersendiri untuk menghargai karya orang lain.
Cik Bunga percaya, dalam kalangan penyanyi sendiri pun mereka saling menghormati dan menghargai karya sesama mereka. Bukan semua perkara perlu dilihat dari sudut negatif. Kadang-kadang, pembaharuan itu adalah tanda penghormatan juga.
Raikan sahajalah selera yang berbeza. Tidak semua orang akan suka perkara yang sama, dan itu normal.
Jangan asyik hendak mengecam sahaja. Sesekali, cuba pula belajar menghargai usaha orang. Barulah dunia hiburan kita lebih manis, bukan penuh dengan rasa pahit di ruangan komen!










