Syarikat RM2 dapat Bukit Cerakah

Syarikat RM2 dapat Bukit Cerakah

Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah di Shah Alam berisiko dilanda bencana buruk jika pembangunan tidak terkawal dilaksanakan di kawasan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat syarikat swasta yang bermodalkan RM2 adalah antara yang diberikan hak pemilikan tanah di Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) pada tahun 2008.

Kesemua syarikat itu adalah antara pemilik sembilan lot tanah di kawasan 406 hektar HSKBC yang dikatakan bakal untung atas angin ekoran Majlis Mesyua­rat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan permohonan penyahwartaan pada Mei lalu.

Malah jika nyahwarta tersebut dibatalkan, syarikat RM2 berkenaan turut mendapat untung kerana dikatakan bakal mendapat ganti rugi kerana pembatalan perjanjian oleh kerajaan negeri

Oleh itu Setiausaha Kumpulan Otai Reformis 1998 (Otai), Abdul Razak Ismail berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tidak sepatutnya bimbang disaman oleh syarikat-syarikat berkenaan jika membatalkan nyahwarta tersebut.

Beliau berkata, sebaliknya kerajaan negeri perlu menyiasat bagaimana tanah-tanah tersebut diberikan kepada syarikat-syarikat berkenaan dan tidak wajar tunduk dengan tekanan mereka.

“Bagaimana syarikat RM2 dapat tanah di sana dan kerajaan negeri boleh benarkan nyahwarta terhadap kawasan yang ketika itu berstatus hutan simpan.”

“Kemudian bimbang disaman, tiga lot tanah masih belum ada pembangunan.”

“Perkara yang sepatutnya dilakukan adalah mempersoalkan kredibiliti syarikat-syarikat tersebut, kenapa mereka yang dilihat dengan modal RM2, masing-masing boleh dapat sebidang tanah? Saya percaya mereka pun belum bayar premium dan peroleh geran sehingga nyahwarta disiarkan pada Mei lalu, ada locus standi di situ” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, keluasan hutan di Bukit Cerakah semakin mengecil selepas dinyahwarta sebanyak 22 kali menerusi Warta Kerajaan Negeri yang diterbitkan pada Mei lalu.

Amirudin menjelaskan, nyahwarta tersebut diteruskan berikutan kerajaan negeri enggan mengambil risiko disaman oleh pemilik tanah dan pemaju apabila kelulusannya dibuat sebelum 2008 iaitu ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir Selangor.

Menteri Besar Selangor ketika itu ialah Dr. Khir Toyo.

Bagaimanapun, peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili Pertubuhan Pelindung Kha­zanah Alam (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) mendakwa nyahwarta tersebut mengelirukan apabila Warta Kerajaan Negeri yang di­siar pada Mei lalu menunjukkan tarikh pe­nyahwartaan pada 14 April 2022.

Dalam pada itu, Abdul Razak turut menegaskan kerajaan negeri perlu melindungi satu-satunya hutan dalam bandar di Bukit Cerakah berbanding kerugian yang boleh dibayar akibat kesilapan pentadbiran terdahulu.

“Tidak perlu pun bayar pampasan kepada syarikat terlibat, tiga kawasan tanah belum dibangunkan dan masih hijau. Takkan hendak biarkan syarikat dapat untung atas angin.­ Kecuali kawasan berhampiran Persiaran Mokhtar Dahari, siapa benarkan bukit di situ ‘digondolkan’?

“Dua Menteri Besar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini iaitu Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak memberikan sebarang kelulusan pun untuk membangunkan kawasan berkenaan. Tiba-tiba Amirudin pula keluarkan nyahwarta,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN