Syarikat jual bearing jenama tiruan dituduh di mahkamah - Utusan Malaysia

Syarikat jual bearing jenama tiruan dituduh di mahkamah

TEH Yoong Hon hadir ke mahkamah mewakili syarikatnya yang didakwa menjual alat ganti kenderaan berjenama tiruan di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas kesalahan menjual dan menyalahgunakan jenama pada alat ganti kenderaan tiruan.

Armada Parts Sdn. Bhd. yang diwakili Pengarahnya, Teh Yoong Hon bagaimanapun mengaku tidak besalah atas kesalahan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rashyihah Ghazalie.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat berkenaan dikesan menjual barangan berjenama tiruan iaitu bearing pelbagai model sebanyak 2,388 unit yang menjadi kesalahan berkaitan perihal barangan cap dagangan berdaftar berkuantiti.

Jenama pada bearing tersebut merupakan suatu cap dangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019, justeru, syarikat terbabit didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(i) akta sama.

Hukuman di bawah seksyen tersebut menetapkan, denda tidak melebihi RM15,000 untuk setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, jika yang dituduh itu adalah pertubuhan perbadanan.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, didenda sehingga RM30,000 bagi setiap barangan dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

Rasyihah kemudian menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes kendalian Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Syaafie serta penyerahan dokumen dan membenarkan wakil syarikat dikecualikan daripada hadir pada tarikh tersebut selepas peguam Jay Moy Wei Jun memohon demikian.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey dalam kenyataan hari ini memberitahu alat ganti berkenaan disita pihak berkuasanya ketika menjalankan satu operasi banteras barangan tiruan pada 30 Ogos lalu di Batu Caves, Gombak.

“Kira-kira pukul 10.30 pagi, asas tindakan adalah daripada aduan dan pengesahan awal yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar berhubung aktiviti urus niaga sebuah premis yang menjual alat ganti kenderaan tiruan dan disyaki terlibat dengan penyalahgunaan cap dagang tanpa kebenaran pemilik sah.

“Semasa serbuan dijalankan, dijumpai 2,388 alat ganti kenderaan tiruan. Alat tersebut disimpan dalam sebuah stor berada dalam premis yang diadu sebelum disita untuk tujuan siasatan dengan anggaran nilai sitaan adalah RM716,400,” katanya.

Beliau menambah, KPDNHEP akan bertindak tegas dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah kementerian tersebut, khususnya melibatkan perlindungan harta intelek yang juga merupakan salah satu kepentingan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya