Trump mahu bawa uranium Iran pulang ke AS

Trump mahu bawa uranium Iran pulang ke AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHOENIX: Presiden, Donald Trump berkata, Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan bersama-sama mengeluarkan uranium dari tapak nuklear Teheran menggunakan jentera pengorek di bawah sebarang perjanjian damai, sebelum bahan itu dipindahkan ke wilayah AS.

Kenyataan Trump itu dibuat walaupun Kementerian Luar Iran sebelum ini menegaskan simpanan uranium diperkaya republik Islam itu tidak akan dipindahkan ke mana-mana.

“Seseorang bertanya, bagaimana kita hendak mendapatkan ‘debu nuklear’? Kita akan mendapatkannya dengan masuk bersama Iran, dengan banyak jentera pengorek.

“Kita perlukan jentera pengorek terbesar yang boleh dibayangkan.

“Tetapi kita akan masuk bersama Iran. Kita akan ambilnya. Kita akan bawa pulang ke AS tidak lama lagi,” kata Trump ketika berucap di hadapan perhimpunan pergerakan konservatif Turning Point USA di Phoenix, Arizona.

Kenyataan Trump itu memperincikan dakwaannya pada Khamis bahawa Iran telah bersetuju untuk menyerahkan uranium diperkayanya, namun tanpa memberikan butiran lanjut mengenai proses pemindahan tersebut.

Pemimpin AS itu sering menggunakan istilah ‘debu nuklear’ untuk merujuk kepada simpanan uranium diperkaya Iran, yang menurut Washington disimpan bagi tujuan membangunkan senjata nuklear.

Namun, beliau juga kadangkala menggunakan istilah itu untuk merujuk kepada bahan yang tinggal selepas serangan AS ke atas fasiliti nuklear Iran pada Jun tahun lalu.

Trump kelihatan semakin optimis pada Jumaat mengenai kemungkinan perjanjian damai dengan Iran, dengan memberitahu AFP  tiada lagi isu besar dan perjanjian itu sangat hampir.

Kenyataan mengenai Iran itu dibuat semasa ucapannya di acara Turning Point USA, di mana beliau diperkenalkan oleh Erika Kirk, balu kepada pengasas kumpulan itu, Charlie Kirk, sekutu Trump yang dibunuh pada September lalu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×