PETALING JAYA: Pasangan suami isteri yang ditahan selepas disyaki mendera dua anak saudaranya dituduh di Mahkamah Ampang dekat sini, esok.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pasangan berkenaan dituduh pada pukul 9 pagi.
“Kedua-dua suspek dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan polis menahan kedua-dua suspek kira-kira pukul 6 petang selepas disyaki mendera dua beradik berkenaan.
Suspek wanita berkenaan adalah adik kepada ibu mangsa yang menjaga dua beradik itu sejak dua tahun lalu selepas bapa kanak-kanak itu meninggal dunia.
Kejadian dera berkenaan terbongkar selepas kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada seorang diri di rumah cuba melarikan diri dari tingkap sebuah unit kondominium di tingkat empat dan diselamatkan orang awam. – UTUSAN