Sindiket sembunyi dadah bernilai RM40.56j dalam mesin

Sindiket sembunyi dadah bernilai RM40.56j dalam mesin acuan industri

AZULI Johan (tengah) menunjukkan dadah yang dibalut dalam bungkusan teh cina sebelum disembunyikan dalam mesin acuan industri dalam sidang akhbar di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan taktik membalut dadah dalam bungkusan teh cina kemudian disembunyikan dalam mesin acuan industri berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan rampasan keseluruhan sebanyak 676 kilogram dadah bernilai RM40.56 juta. 

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan berkata, taktik menyembunyikan dadah dalam mesian acuan industri itu pertama kali dikesan di negara ini dan merupakan rampasan dadah terbesar oleh pihak JKDM pada tahun ini.

Zazuli berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas sepasukan anggota kastam Cawangan Narkotik telah menyita sebuah kontena bersaiz 40 kaki pada pukul 12 tengah hari, 10 September lalu di Pelabuhan Barat dekat Pelabuhan Klang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut menjumpai 676 bungkusan teh yang dibaluti bungkusan aluminium mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 676 kilogram bernilai lebih kurang RM40.56 juta.

“Modus operandi sindiket ini bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara menyembunyikan bungkusan-bungkusan dadah tersebut di dalam mesin acuan industri berkapasiti besar,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Menurut Zazuli, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun di Pelabuhan Klang ketika serbuan selepas dia mengaku sebagai ejen yang mewakili pemilik kontena tersebut.

“Siasatan awal mendapati kontena tersebut akan dieksport ke Australia, namun dari mana dadah itu diperoleh masih dalam siasatan pihak JKDM.

“JKDM tidak menolak kemungkinan lebih banyak suspek akan ditahan dalam masa terdekat berdasarkan penemuan baharu dan siasatan lanjut yang sedang dijalankan,” katanya.

Jelas beliau, suspek telah ditahan reman selama 12 hari bermula 11 September lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

“Jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 15 sebetan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN