Serah kepada pengurusan parti - Mahdzir

Serah kepada pengurusan parti – Mahdzir

MAHDZIR Khalid ketika hadir pada Majlis Penyerahan Watikah JPKKP Selangor di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebarang keputusan mengenai pendirian Pas yang kekal menganggap UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama) di bawah gagasan penyatuan ummah perlu diserahkan kepada pengurusan parti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, ini kerana beliau tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Apa-apa keputusan kena balik kepada pengurusan parti sebab dalam parti ada Biro Politik dan Majlis Tertinggi jadi ia adalah proses yang normal.

“Ia perlu dibincang dan selepas itu kalau di Biro Politik nampak macam positif boleh diangkat kepada Majlis Tertinggi. Itu adalah tertib yang ada dalam parti dan saya tidak mahu membuat apa-apa kesimpulan mengenai perkara berkaitan kerana kalau saya bercakap sudah jadi kenyataan individu jadi tak berapa sesuai, lebih baik serah kepada Biro Politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 212 anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Selangor di sini semalam.

Semalam media melaporkan, Pas menyatakan pendirian kekal menganggap UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama), selain tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan konsep ‘khemah besar’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Takiyuddin berkata, pendirian itu dibuat selaras keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam yang memutuskan parti itu konsisten dan komited dengan agenda penyatuan ummah.

Selaras pendirian itu, beliau memaklumkan PAS terus terbuka untuk mengadakan pertemuan dan rundingan dengan rakan kerjasamanya menjelang PRU-15.

Dalam perkembangan berlainan, Mahdzir berkata, tarikh sebenar PRU-15 hanya akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Walaupun saya anggota Kabinet tapi kita tak pernah bincang (mengenai) tajuk tarikh ini sebab ia tarikh Perdana Menteri, dari dahulu lagi kuasa prerogatif Perdana Menteri jadi biarlah beliau yang putuskan. Kalau sudah putuskan kita ‘follow’ sahaja lah,” ujarnya.

Kelmarin, Ismail Sabri berkata, beliau belum berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung tarikh PRU-15.

Top Five UMNO merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Mahdzir dan Perdana Menteri sendiri.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN