PETALING JAYA : Kerajaan negeri Selangor berisiko disaman sehingga RM1 bilion susulan keputusan dibuat bekas Menteri Besar, Dr. Mohamad Khir Toyo membabitkan isu Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) di Shah Alam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Mohamad Khir perlu cermin diri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang ulasan dalam isu berkenaan kerana perjanjian dibuat sewaktu pentadbirannya telah menimbulkan pelbagai masalah pada hari ini.
Katanya, bekas Menteri Besar itu juga tidak boleh lepas tangan dan hendaklah bertanggungjawab terhadap keputusan dibuat beliau sewaktu mengetuai kerajaan negeri.
“Ya (kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk menghentikan sebarang projek pembangunan). Tetapi boleh disaman disebabkan oleh perjanjian (sedia ada). (Mohamad Khir) kena cermin dahulu.
LEPAS TANGAN
“Kerajaan terdedah kepada saman RM1 bilion disebabkan rampasan tanah dibuat pada 2008 dan sebagainya. Dia tidak boleh lepas tangan macam itu sahaja, dia cakap jangan lepas tangan sedangkan dia sebenarnya yang patut bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Coffee Table Book Air Selangor di sini semalam.
Semalam, Dr. Mohamad Khir kecewa dengan tindakan pentadbiran Amirudin yang dilihat cuba lepas tangan daripada mengambil tanggungjawab di sebalik kontroversi pembangunan Bukit Cherakah, meskipun mempunyai kuasa untuk menghentikannya.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) yang sudah hampir 15 tahun menerajui kerajaan Selangor mempunyai kuasa penuh untuk menghentikan sebarang projek pembangunan, termasuk di Bukit Cherakah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang sudah 22 kali dinyah warta sejak 1924.
Dalam pada itu, Amiruddin berkata, pihak Exco Kerajaan negeri sedang melengkapkan penjelasan berkenaan status kawasan itu.
“Tiada apa, tunggulah Exco saya tengah siap,” ujarnya.
Sebelum ini, beliau memaklumkan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian akan menerangkan semua bahawa kerajaan negeri yang sekarang ini tidak pernah nyahwartakan kawasan itu, sebaliknya ia sudah dinyah warta sejak lama dahulu.
Akhbar ini pernah melaporkan empat syarikat dipercayai antara pemilik sembilan lot tanah di HSKBC yang didakwa bakal mengambil untung atas angin jika kerajaan negeri membatalkan nyah warta yang dikeluarkan Mei lalu.
Malah, syarikat berkenaan dikenal pasti ditubuhkan dengan perkongsian modal RM2 sebelum dianugerahkan tanah kepada setiap daripadanya seperti diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dinyah warta daripada hutan simpan.
Pendedahan itu dibuat Setiausaha Kumpulan Otai Reformis 1998 (Otai), Abdul Razak Ismail selepas HSKBC dilaporkan dinyah warta sebanyak 22 kali menerusi siaran Warta Kerajaan Negeri terbaru pada 5 Mei lalu. – UTUSAN










