PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali memberi bayangan tiada orang kenamaan menerima rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di ibu negara.
Beliau malah memberikan jawapan seolah-olah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menjalani rawatan lanjut di premis itu sebagai mana kenyataan Jabatan Penjara.
“Saya tidak dengar ada mana-mana VVIP (kenamaan amat penting) yang masuk pula ke sana,” katanya ketika ditanya mengenai status terkini kesihatan bekas pemimpin negara tersebut.
Media hari ini melaporkan Najib dirujuk pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dihantar ke HRC pada 19 September lalu sebelum akan dihantar balik semula ke Penjara Kajang dekat sini.
HRC yang mula beroperasi sejak 2 Julai 2012 lalu dengan kos RM342 juta, pada ketika ini cuma memiliki enam wad namun kapasiti boleh lagi ditambah hingga 600 katil pada masa depan.
Mengulas lanjut, Noor Azmi yang kebetulan baru sahaja merasmikan sambutan 10 tahun HRC pada 15 September lepas mengakui, tiada menerima laporan kemasukan VVIP ke fasiliti itu.
“Dulu memang ada seorang ahli Parlimen yang rebah secara tiba-tiba di Dewan Rakyat dan kemudian dikejarkan ke HRC untuk rawatan susulan, malah saya pun menziarahi dia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau dilihat hanya memberi jawapan berlapik dengan berkata bahawa kualiti HRC amat hebat dan bertaraf dunia serta mampu merawat pesakit yang dirujuk ke sana.
Najib sebelum ini telah dimasukkan ke HKL untuk rawatan pakar perubatan setelah beliau ada memaklumkan keadaan kesihatannya yang tidak begitu memuaskan ketika dalam penjara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam reaksi mengenai berita tersebut telah mengarahkan agar pihak Kementerian Kesihatan memberikan rawatan terbaik kepada Najib.
Namun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kemudian mencetuskan kritikan warganet pro-Barisan Nasional apabila mendakwa Najib tidak layak dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN).
Sebaliknya beliau mendakwa konon Najib hanya sesuai dirawat di HKL berbanding layanan istimewa kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di IJN yang disahkan positif Covid-19 sebelum itu.-UTUSAN










