GAZA: Tikus dan parasit semakin merebak di kem-kem menempatkan khemah penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal, menggigit jari kaki kanak-kanak ketika mereka tidur, merosakkan barangan berharga yang masih tinggal serta menyebarkan penyakit.
Ia berlaku ketika kebanyakan daripada lebih dua juta penduduk Gaza kehilangan tempat berteduh, dengan ramai kini tinggal di khemah sementara yang didirikan di kawasan lapang, tepi jalan atau di atas runtuhan bangunan yang musnah.
Beberapa hari sebelum hari perkahwinannya, seorang penduduk, Amani Abu Selmi, 20, yang berpindah bersama keluarganya di Khan Younis di selatan, mendapati tikus merosakkan pakaian dan beg persiapan perkahwinannya di dalam khemah lusuh tempat mereka berlindung.
Dia dan ibunya menunjukkan kepada wartawan Reuters lubang pada gaun pengantinnya, iaitu pakaian tradisional bersulam berwarna burgundy yang biasa digunakan dalam perkahwinan Palestin.
“Semua kebahagiaan saya hilang, ia bertukar menjadi kesedihan dan kekecewaan. Barang saya rosak, persiapan perkahwinan saya hancur,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Khalil Al-Mashharawi berkata, seekor tikus menggigit tangan dan jari kaki anak lelakinya berusia tiga tahun beberapa minggu lalu. Pada Jumaat lalu, dia sendiri turut digigit.
Dia dan isterinya kini tidur secara bergilir-gilir untuk melindungi anak-anak mereka dan antara satu sama lain daripada serangan tikus yang tidak dapat mereka kawal atau tangani, kerana perangkap tikus di rumah-rumah yang musnah dan khemah didapati tidak berkesan.
Mereka menjangkakan masalah itu akan bertambah buruk menjelang musim panas disebabkan sekatan Israel terhadap bahan kawalan perosak seperti racun tikus.
Israel secara umumnya mengehadkan kemasukan barangan ke Gaza yang dianggapnya mempunyai kegunaan dwi-fungsi iaitu ketenteraan atau awam.
“Setiap hari, hospital merekodkan kes berkaitan tikus, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan mereka yang sakit.
“Terdapat juga kebimbangan meluas mengenai penularan penyakit berbahaya termasuk leptospirosis, malah wabak taun,” kata Pengarah Hospital Al Shifa, Mohamed Abu Selmia.
Atas desakan semua pihak dan rakan antarabangsa bagi menangani masalah sanitasi, agensi tentera Israel yang mengawal akses ke Gaza mengumumkan akan memudahkan penghantaran kira-kira 90 tan bahan kawalan perosak serta lebih 1,000 perangkap tikus ke wilayah itu.









