KAMPAR: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kereta dinaikinya dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang individu positif ganja di Kilometer 29.4 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa, Jayden Leong Zhi Yung, 10, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan kereta Perodua Bezza, disahkan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah.
Menurutnya, nahas turut mengakibatkan seorang lagi penumpang berusia 13 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki manakala pemandu kereta tersebut cedera ringan.
“Polis menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 10.35 malam.
“Siasatan awal mendapati, Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berumur 44 tahun dari arah Ipoh ke Kampar hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Keadaan itu mengakibatkan kenderaan tersebut melanggar kereta dinaiki mangsa dan sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi yang sedang bergerak di laluan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pelanggaran menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki maut di tempat kejadian dan dua yang lain cedera.
Katanya, pemandu Toyota Hilux dan pemandu Perodua Myvi yang merupakan pelajar lelaki berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Polis menahan pemandu Toyota Hilux bagi tujuan siasatan lanjut kerana ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut positif ganja,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. – UTUSAN









