Rundingan Pas-UMNO terus berjalan

Rundingan Pas-UMNO terus berjalan

UMNO dakwa Pas hanya main wayang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkemungkinan tidak senang dengan usaha Pas untuk menyelamatkan hubungan bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN), parti itu tetap dengan pendirian meneruskan agenda perpaduan ummah.

Malah, rundingan Pas dengan UMNO masih berterusan meskipun berhadapan situasi sukar apabila UMNO masih berpendirian untuk bergerak solo dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas tidak pernah berhenti untuk terus berunding dengan UMNO demi matlamat penyatuan ummah.

Katanya, usaha tersebut akan berterusan meskipun selepas PRU-15 atau pilihan raya berikutnya.

“Rundingan masih berterusan, tidak pernah berhenti. Melihat perkembangan hubungan yang agak teruk ketika ini, rundingan perlu dilakukan sedikit demi sedikit.

“Perkembangan tampak po­sitif dan kita akan terus berusaha demi agenda penyatuan ummah yang dituntut oleh Islam ini,” katanya.

Kelmarin Hashim dilaporkan mendakwa wujud rundingan sulit membabitkan pemimpin tertentu dalam UMNO dan parti itu menyentuh keperluan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

Susulan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muh­yiddin Yassin mahu mendapatkan penjelasan Pas berhubung dakwaan itu dan enggan dilihat sebagai parti yang mempunyai pelbagai pendirian yang tidak baik untuk masa depan PN.

Pada 4 September lalu, Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 meluluskan usul meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan situasi satu lawan satu pada PRU-15.

Tambah Hashim, seperti Bersatu yang mungkin tidak selesa jika Pas bekerjasama dengan UMNO, situasi sama juga berlaku kepada UMNO.

“Jadi apa pun masalah yang timbul, Pas tidak berhenti ke arah agenda penyatuan ummah ini.

“Pintu kerjasama kita tidak pernah tertutup sama ada sebelum PRU-15, selepas pilihan raya atau seterusnya selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×