SEPANG: Mereka yang julung kali datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini mungkin berasa hairan melihat kelibat robot ini bergerak.
Namun bagi pekerja dan penumpang rutin terminal udara tambang rendah ini tentunya sudah sedia maklum kelincahan The Rex bekerja memastikan lantai premis sentiasa bersih.
Menurut hantaran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam laman sosialnya, robot pintar pertama kerja pembersihan itu sudah bertugas sejak 12 September lalu.
“Ia berupaya bekerja meliputi kawasan yang seluas 4,032 meter persegi dalam satu jam dan mampu bertugas sehingga 10 jam dengan hanya dijana kuasa bateri,” kata operator KLIA2 itu.
Uniknya ujar MAHB, The Rex bukan sekadar dapat menyapu lantai, malah jenama Lionsbot itu boleh menyental permukaan lapisan jubin, marmar, granit dan lain-lain. Dengan harga RM3 juta, ia juga ada ciri kawalan secara manual atau automatik selain mod pembersihan pantas ‘super’ dengan liputan keluasan satu padang bola dalam masa dua minit.
The Rex dibekalkan firma penyedia pengurusan fasiliti tempatan, Sinar Jernih Sdn. Bhd. Yang berpusat di Petaling Jaya, Selangor dengan berpengalaman luas sejak beroperasi pada 1995.
Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Said Osman menjelaskan, syarikat itu berhasrat dengan penggunaan robot tersebut mampu menjimatkan lagi kos tenaga manusia sebanyak 20 peratus.
“Ini kali pertama mesin canggih sebegini digunakan di KLIA2 dan kami merancang akan dapat diperluaskan dengan rakan kongsi dari Singapura untuk pelbagai lagi operasi lain,” katanya.
Robot tersebut memiliki ketinggian 1.47 meter dengan lebar 0.8 meter dan panjang 1.6 meter serta beratnya 550 kilogram di samping keupayaan pemberusan lantai maksimum 80 kilogram.
Digerakkan dengan tenaga bateri 36 volt, jentera ini yang ada muatan tangki 140 liter juga mampu bergerak ketika bertugas pada kelajuan 1.4 meter sesaat dan kebisingan 65 decibel. – UTUSAN