RM3j dibelanja setahun urus isu perosak, penyakit tanaman - Utusan Malaysia

RM3j dibelanja setahun urus isu perosak, penyakit tanaman

RONALD Kiandee (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan mendengar penerangan ketika melihat ruang pameran pada Simposium Biosekuriti Tumbuhan Tahun 2022 yang diadakan di Seremban hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Pertanian membelanjakan sekurang-kurangnya RM3 juta setahun sejak 2010 bagi mengurus dan mengatasi isu perosak serta penyakit tanaman di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, jumlah tersebut jelas menunjukkan pihak kementerian serius memperkasa sekuriti makanan di negara ini.

“Hampir 40 peratus tanaman makanan musnah akibat serangan perosak dan penyakit tumbuhan setiap tahun dan Malaysia juga tidak terkecuali dalam menghadapi fenomena ini. Pemerebakan atau outbreak perosak dan penyakit ini melibatkan kos yang besar kepada kerajaan dari segi pengurusan dan program penghapusannya.

“Kementerian melalui Jabatan Pertanian yang juga sebagai sebahagian daripada Organisasi Perlindungan Tumbuhan Kebangsaan (NPPO), sentiasa berusaha untuk memastikan usaha pelaksanaan biosekuriti tanaman dan tumbuhan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Biosekuriti Tumbuhan Tahun 2022 di sini hari ini.

Dalam isu yang sama, beliau berkata, kerajaan akan terus mempertingkat kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya dapat dibendung serta dikawal.

Sehubungan itu menurutnya, Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara secara dasar bersetuju dengan pewujudan Pusat Sehenti Kuarantin Negara (One Stop Quarantine Centre – OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan hasil pertanian dan agromakanan negara.

“Aspek biosekuriti makanan perlu dipertingkat dan kami mencadangkan supaya diwujudkan OSQC dan ia telah diluluskan di peringkat Kabinet. Saya harap ia dapat menguruskan aspek ini, sekarang ini dalam peringkat perincian pelbagai agensi dan jabatan.

“Sebagai permulaan akan dibuat di Pelabuhan Klang seterusnya kami berhasrat dilaksanakan di semua pintu masuk negara,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, semua pihak dan pemegang taruh dalam bidang pertanian dan penternakan di negara ini diminta berwaspada dengan ancaman banjir khususnya ketika negara dijangka menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bermula November ini hingga Mac tahun depan.

“Ancaman banjir dihadapi saban tahun sektor agromakanan dan ternakan makanan, setiap kali banjir ia akan merosakkan dan memberi impak kepada industri, kita tidak boleh menghalang daripada ia berlaku. Jadi saya pihak semua pemegang taruh berwaspada dengan ancaman banjir dan pihak kementerian dan agensi di negeri-negeri bersiap siaga membantu ketika banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.