KOTA BHARU: Kementerian Pengangkutan sudah membelanjakan RM1 bilion secara kumulatif melalui Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF) untuk membantu pengoperasian bas henti-henti di seluruh negara bermula tahun 2012 sehingga hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan kesukaran yang dihadapi rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan untuk menggunakan perkhidmatan bas.
“Bagi memenuhi syarat ditetapkan di bawah ISBSF, kesemua bas akan dilengkapi sistem tiket elektronik canggih dan sistem kedudukan sejagat (GPS) untuk membolehkan pergerakan bas dapat dipantau dengan berkesan.
“Malah ia turut dilengkapi sistem pengesan untuk mencerap tatalaku pemandu termasuk kerap menekan brek atau mengantuk semasa memandu. Untuk keselesaan penumpang kesemua bas menyediakan sistem penghawa dingin di setiap tempat duduk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bas Mutiara Rentas Desa (MRD) di Tunjung, dekat sini hari ini.
Ka Siong memberitahu, pemilihan Konsortium E-Mutiara Berhad dibuat kerana mereka diyakini berupaya untuk menggerakkan semula perkhidmatan bas henti-henti di Kelantan.
Katanya, dengan pengalaman selama 30 tahun yang mereka miliki beliau yakin percaya Konsurtium E-Mutiara dapat mengendalikan perkhidmatan ini dengan lebih baik daripada sebelumnya.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM4.11 juta setahun untuk program ISBSF di Kelantan dan difahamkan perkhidmatan Mutiara Rentas Desa telah dimulakan secara berfasa sejak 1 Februari tahun ini.
“Sehingga 27 Ogos lalu perkhidmatan berkenaan telah digunakan oleh lebih 60,000 penumpang dengan kadar kenaikan jumlah penumpang daripada Februari sehingga Ogos tahun ini adalah sebanyak 51 peratus sebulan,” ujarnya.
Ka Siong berkata, MRD kini beroperasi dengan 13 bas baharu untuk sembilan laluan meliputi jarak laluan harian sejauh 9,920.6 Kilometer. Penggunaan perkhidmatan bas ini sangat bersesuaian dengan keadaan jalan dan jumlah penumpang semasa.
“Syarikat E-Mutiara bercadang memperluaskan perkhidmatan Mutiara Rentas Desa ini dengan menambah sebanyak 14 bas baharu dalam fasa-fasa berikutnya menjelang akhir tahun ini bagi menggenapkan jumlah 27 bas yang diperuntukkan,” katanya. – UTUSAN










