Rayuan Abdul Azeez diputuskan hari ini - Utusan Malaysia

Rayuan Abdul Azeez diputuskan hari ini

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan mengetahui hari ini sama ada Mahkamah Rayuan membenarkan atau menolak rayuan untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menentukan sama ada Ahli Parlimen Baling itu dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Jika rayuan dibenarkan, Abdul Azeez, 55, dibebaskan daripada tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 10 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM13.9 juta.

Sebaliknya jika rayuan ditolak, Ahli Parlimen Baling itu terus dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi setakat ini telah mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan pada perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Jika keputusan tidak memihak kepadanya, Abdul Azeez mempunyai satu lagi peluang merayu di Mahkamah Persekutuan kerana permohonan tersebut yang pada asalnya dikemukakan di Mahkamah Tinggi, berakhir di mahkamah tertinggi negara.

Abdul Azeez tidak mempunyai peluang selain hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan kerana rayuan telah tertangguh beberapa kali dan panel tersebut telah pun memberikan penangguhan terakhir.

Ketika prosiding pada 26 Ogos lalu, Hakim Abu Bakar menarik perhatian mahkamah bahawa panel tersebut sudah bersedia untuk mengumumkan keputusan rayuan.

Bagaimanapun, keputusan ditangguhkan selepas peguam Amer Hamzah Arshad memaklumkan Abdul Azeez tidak hadir kerana dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas diserang penyakit berkaitan perut.

Sebelum ini, prosiding tertangguh beberapa kali selepas pihak pembelaan masih menunggu maklum balas Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung empat representasi yang dikemukakan untuk pertimbangan.

“Kita berharap ada jawapan daripada AGC. Mereka boleh terima atau menolak representasi yang dikemukakan jika ia lemah,” ujar Amer Hamzah ketika prosiding pada 26 Ogos lalu.

Hakim Kamaludin ketika itu turut menyatakan kes sudah mengambil masa yang agak lama dan AGC perlu menjawab sama ada representasi itu dibenarkan atau ditolak supaya mahkamah dapat membuat keputusan terhadap rayuan itu.

“Kes ini sudah banyak kali ditangguhkan, Peguam Negara atau sesiapa sahaja perlu menjawabnya. Jika tolak, tolaklah asalkan ada jawapan. Kalau tidak ia akan tergantung begitu sahaja,’ ujar Hakim Kamaludin.

Pada 1 Julai lalu, panel tersebut menangguhkan keputusan rayuan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti petunjuk baharu berhubung pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Abdul Azeez.

Prosiding rayuan yang bermula 6 September 2021 antara lain diberitahu, pertuduhan yang dihadapi Abdul Azeez tidak berasas, cacat, kabur dan kekurangan butiran kerana hanya menyatakan lokasi sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, pada 6 Oktober 2021 Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad menghujahkan perbicaraan itu tidak akan memprejudiskan Abdul Azeez kerana pihak pendakwaan akan memanggil saksi untuk membuktikan kes dan juga tertakluk kepada pemeriksaan balas peguam.

Pada 12 Mac 2021, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan pertuduhan berkata, mahkamah mendapati semua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di ibu negara pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Beliau turut didakwa atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd.

Kesalahan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya