SEREMBAN: Tumpuan kepada sektor pendidikan dan kesejahteraan masyarakat telah mendorong pemaju Bandar Sri Sendayan (BSS), Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) menyumbang separuh daripada kos perpindahan dan pembangunan semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Labu Bahagian 4.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Pembangunan Hartanah, Matrix Concepts, Tan Sze Chee berkata, fasa pertama pembangunan sekolah baharu itu dijangka menelan belanja sebanyak RM8.9 juta dan Matrix Concepts telah berbesar hati menyumbang 50 peratus daripada jumlah tersebut sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat itu terhadap pembangunan komuniti.
Beliau berkata, sumbangan tersebut adalah komitmen bersama dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan komuniti seiring pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) di kawasan seluas 963 hektar di sini dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM15 bilion dalam tempoh 12 tahun yang turut melibatkan sekolah berkenaan di lokasi sedia ada.
“Perpindahan dan pembangunan semula SJKT Ladang Labu Bahagian 4 merupakan sebahagian daripada pembangunan MVV City. Namun, kami melihat usaha ini sebagai peluang untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan lengkap demi manfaat generasi akan datang.
“Di Matrix Concepts, kami percaya pembangunan bandar bukan hanya tertumpu kepada infrastruktur dan perumahan tetapi juga kepada pembentukan komuniti yang mampan dan inklusif. Sejak pembangunan BSS lebih dua dekad lalu, aspek pendidikan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi antara fokus utama kami,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MOC) antara Matrix Concepts dan Lembaga Pengelola SJKT Ladang Labu Bahagian 4 di sini hari ini.
Majlis itu turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar; Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock dan Pengerusi Lembaga Pengelola SJKT Ladang Labu Bahagian 4, R. Navajeevan.
Sze Chee memberitahu, walaupun sekolah itu kini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), pihaknya percaya lokasi baharu dan pembangunan di kawasan sekitar lokasi baharu itu akan membuka potensi pertumbuhan kepada sekolah berkenaan pada masa hadapan.
Jelasnya, pembinaan sekolah baharu itu yang bermula pada Oktober ini dan siap dalam tempoh setahun dijangka dapat menampung lebih ramai murid dari komuniti sedia ada dan penduduk baharu susulan pembangunan MVV dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Beliau berkata, antara komponen fasa pertama sekolah tersebut ialah sebuah blok akademik empat tingkat dengan 12 bilik darjah serta bilik sains dan komputer, perpustakaan, kemudahan prasekolah, pejabat pentadbiran, dewan serbaguna, kantin dan padang. – UTUSAN










