Rasuah: Pemandu lori dipenjara 14 hari, denda RM15,000

Rasuah: Pemandu lori dipenjara 14 hari, denda RM15,000

CHU Tuan Kang (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai KPDNKK 10 tahun lalu. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan, 10 tahun lalu. 

Tertuduh, Chu Tuan Kang, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda RM15,000, dia boleh penjara lima bulan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah memberi suapan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada seorang Penolong Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Negeri Sembilan.

Ia sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel bersubsidi tanpa permit dan dokumentasi yang sah, yang juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Sunggala, Port Dickson pada 20 Mei 2012.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Roshamshul Roslan memohon hukuman yang ringan dikenakan ke atas anak guamnya yang merupakan seorang bapa tunggal dan mempunyai seorang anak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Mahkamah turut menetapkan wang tunai RM3,000 milik tertuduh yang disita SPRM dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya