Ramai ‘bising’ OPR naik lagi - Utusan Malaysia

Ramai ‘bising’ OPR naik lagi

Perbincangan Bank Negara Malaysia dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan dijangka berupaya mengukuhkan kembali nilai ringgit. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai kecewa berikutan kenaikan kali ketiga Kadar Dasar Semalaman (OPR) berturut-turut pada tahun ini dengan kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ia susulan pengumuman Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, dengan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Berdasarkan perkongsian di laman sosial, seorang pengguna yang dikenali sebagai Muhammad Syarifuddin menyifatkan kenaikan kadar tersebut bakal meningkatkan lagi pembiayaan ansuran bulanan pinjaman rakyat di negara ini.

Malah katanya, kenaikan kadar tersebut jelas membebankan mereka yang baru membuat pinjaman semasa Covid-19.

“Yang baru buat hutang semasa Covid-19 akan terasa kenaikan dia (OPR). Yang sudah buat hutang sebelum Covid-19 akan rasa buffer makin mengecil, tipu lah kalau tak merasa kepedihan ini melainkan beli semua benda pakai tunai terus,” luahnya.

BNM sebelum ini menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas tahun ini selepas OPR diturunkan kepada kadar terendah pada 1.75 peratus disebabkan pandemik.

Seorang lagi warganet yang dikenali sebagai Mohd Ezairol Rezan Zainol berkata, kenaikan OPR yang diumumkan itu berkemungkinan menaikkan lagi kadar ansuran bulanan rumah bermula bulan hadapan.

Malah katanya, dia juga tidak menolak kemungkinan ada antara orang ramai yang akan mula berkira-kira untuk memotong perlindungan takaful, menunda pembelian rumah dan kereta serta mengurangkan pembelian makanan di luar.

“Semua ini akan memberikan kesan ‘domino’ yang pastinya akan memberi kesan kepada ejen, jurujual, penjual makanan dan peniaga kecil secara amnya.

“Sesungguhnya, kita tak mampu nak kawal semua kenaikan yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini. Apa yang kita boleh lakukan adalah ikat perut, ikat kemahuan dan ikat nafsu kita untuk berbelanja pada barang yang bukannya satu keperluan untuk kita terus hidup.

“Selepas semua usaha telah kita lakukan, maka barulah kita berserah pada Allah. Jangan lupa kekal untuk bersedekah walaupun kita tidaklah sekaya mana kerana sedekah itu mampu menghapuskan dosa. Moga kita semua terus kekal tabah,” kongsinya.

Sementara itu, Sophy Sufian Sulaiman pula mengharapkan kerajaan dapat melakukan kaedah lain selain menaikkan kadar OPR semata-mata.

Dakwanya, ini kerana kenaikan kadar tersebut cuma dilihat menguntungkan bank semata-mata dan akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.

“Sebelum ini kerajaan naikkan OPR dengan alasan mahu kurangkan rakyat berbelanja disebabkan bank sudah kekurangan wang dan mahu galakkan rakyat buat simpanan. Itu kata mereka , mereka boleh saja cakap macam-macam bagi alasan.

“Dalam masa yang sama kerajaan mengharapkan apabila penawaran semakin meningkat berbanding permintaan, maka harga barang-barang akan turun sedangkan kita tahu di dalam Malaysia ini, apabila harga sudah naik memang takkan turun.

“Hari ini dapat berita nilai mata wang Ringgit Malaysia pula turun ke paras yang membimbangkan, sudah tentu mahu beli barang-barang import perlukan jumlah duit yang lebih tinggi sekarang ini, ditambah lagi dengan isu negara-negara pembekal yang sudah semakin kurangkan eksport keluar barangan mereka sebab masing-masing mahu jaga stok bekalan dalam negara.

“Cuma aku terfikir, kerajaan mahu dengar ke keluhan rakyat marhaen macam kita ini? Benarkah kerajaan benar-benar mahu tolong rakyat berbanding selamatkan bank yang lebih menguntungkan mereka? Entah lah, mungkinkah aku yang tak faham,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya