PRU15 ketika banjir tindakan zalim

PRU15 ketika banjir tindakan zalim

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP dan PKR sudah bersedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka pada bila-bila masa cuma menolak jika diadakan pada musim tengkujuh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, pilihan raya umum perlu diadakan tanpa sebarang perkara yang mengganggu rak­yat sama ada bencana alam atau suasana tegang.

Sehubungan itu, menurut beliau, gesaan supaya PRU15 diadakan dalam keadaan banjir merupakan satu tindakan sa­ngat zalim.

“Kita memang takut banjir, tetapi tak takut lawan. Kita sudah lama berlatih dan bila-bila masa saja boleh turun gelanggang kalau mahu buka silat, tetapi takkanlah gelanggang berair, penonton minta bantuan dan kita mahu terus bersilat lagi.

“Kita memang takut banjir kerana risaukan rakyat, tetapi tidak takut UMNO kerana menang atau kalah itu terpulang kepada rakyat, tetapi kita takut banjir sebab risaukan rakyat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, media melaporkan, UMNO mempersoal keikhlas­an pembangkang yang membangkitkan kebimbangan risiko PRU15 diadakan pada musim tengkujuh.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, pembangkang yang menentang PRU15 lebih awal sebagai bukti ketakutan, selain cubaan ‘membeli masa’.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyelar tindakan Ahmad Zahid yang menyifatkan pembangkang cuba untuk membeli masa bagi melengahkan pilihan raya itu.

“Kalau mahu beli masa, kita akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu, tetapi tidak.

“Kalau gesaan PRU15 ketika banjir dinyatakan kami semasa menjadi kerajaan, kita akan dilabel sebagai rasis dan tak ambil berat penduduk Melayu sebab kebanyakan yang menghadapi banjir adalah penduduk Melayu terutamanya di kawasan Pantai Timur.

“Tetapi apabila dia (Ahmad Zahid) menggesa, bagaimana pula?,” katanya.

Senada dengan Guan Eng, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, UMNO perlu berhenti memikirkan periuk nasi sendiri apabila terlalu menggesa pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Sebaliknya, beliau berkata, fokus ketika ini yang perlu menjadi keutamaan adalah untuk membantu rakyat menghadapi musibah banjir.

“Apabila kita baca laporan dan ramalan kaji cuaca Jabatan Meteorologi, kita sekarang te­ngah alami fenomena La Nina yang bermaksud hujan berte­rusan dan sangat merisaukan terutama kawasan yang pernah dilanda banjir baru-baru ini.

“Kita kena sedar realiti, malah kami juga sedang usahakan pertemuan bersama agensi kerajaan di kawasan masing-masing untuk siap sedia musibah banjir, tetapi pemimpin UMNO asyik fikir pilihan raya umum saja,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN