Polis sahkan kes culik di SK Bukit Rambai adalah palsu

Polis sahkan kes culik di SK Bukit Rambai adalah palsu

CHRISTOPHER PATIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis mengesahkan bahawa rakaman suara yang tular melalui aplikasi WhatsApp berkenaan kes kanak-kanak diculik oleh sebuah kereta di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rambai di sini adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semakan mendapati mesej palsu tersebut mula tular pada 27 September 2022 dan turut diulang siar di beberapa platform media sosial.

Tegasnya, setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan seperti didakwa rakaman suara berkenaan.

“Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah mengesan dua rakaman suara penularan berita palsu dalam aplikasi WhatsApp mengenai kanak-kanak diculik oleh sebuah kereta di SK Bukit Rambai dan diculik oleh sebuah van di kawasan Bukit Rambai.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dan menyebarkan berita-berita yang tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya.

“Polis akan terus mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan serta menyebarkan sebarang berita palsu dalam platform media sosial,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sejak semalam, tular dua rakaman suara lelaki mendakwa kononnya berlaku penculikan pelajar di sekolah berkenaan, manakala seorang lagi dilarikan sebuah van tidak dikenali sebaik sahaja turun dari van sekolah.

Dalam audio itu juga, lelaki terlibat turut membuat hebahan meminta orang ramai berhati-hati dan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelak menjadi mangsa culik penjenayah.

Tambah Christopher, kes boleh disiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menyebarkan ketakutan dan kegentaran kepada awam.

“Mereka boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua- duanya, dan boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN