PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa, peserta serta delegasi yang menjayakan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022.
Simposium yang berlangsung selama enam hari sejak 25 September lalu di Hotel Marriot di sini menghimpunkan lebih 300 penggiat seni tekstil, artisan dan penenun dari negara-negara anggota dan rantau lain.
Dalam titah penutupan, baginda menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kerjasama dipamerkan oleh semua pihak dalam memastikan kejayaan simposium berkenaan.
“Kepada seluruh ahli jawatankuasa mereka bekerja keras sebagai satu kumpulan dan saya harus berterima kasih dari lubuk hati atas kesungguhan semua yang meletakkan usaha besar mereka.
“Justeru kita boleh meraikan kejayaan yang luar biasa ini. Terima kasih kepada semua,” titah baginda di sini hari ini.
Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyerahkan bendera simposium kepada wakil Persatuan Kraftangan Laos, Duangmala Phommavong.
Bertemakan ‘Celebrating Textiles: A Journey’, simposium tersebut menjadi platform bagi membincangkan serta berkongsi maklumat mengenai isu berkaitan pemeliharaan dan kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ini.
Simposium yang dianjurkan dua tahun sekali ini turut menampilkan pameran tekstil termasuk koleksi tenun peribadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta demonstrasi pembuatan kraf seperti Tenun Pahang Diraja, songket, siambitan Sabah, pua kumbu Sarawak, anyaman mengkuang, ukiran kayu serta jualan pelbagai kraf.
Simposium Tekstil Tradisional ASEAN bermula sejak tahun 2005 yang mana Indonesia merupakan penganjur pertama dan diteruskan lagi di Filipina pada 2009, Malaysia (2011), Vietnam (2013), Thailand (2015), Brunei (2017) dan kali terakhir di Indonesia (2019).
Sementara itu, menerusi ucapannya, Phommavong melahirkan rasa bangga dan mengalu-alukan kedatangan para peserta untuk menyertai penganjuran simposium edisi akan datang yang akan berlangsung di Laos pada 2024.
“Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Malaysia selaku tuan rumah bagi simposium kelapan kerana merancang dengan baik acara bermakna ini.
“Saya juga ingin mengalu-alukan kedatangan semua peserta pada simposium seterusnya di Laos pada 2024. Semoga kita bertemu lagi,” ujarnya. – UTUSAN










