BALIK PULAU: Siapa sangka bermula dengan hobi memancing, Afizan Arifin, 42, kini terkenal sebagai seorang usahawan bot pancing yang menawarkan perkhidmatan membawa pemancing tegar menguji kemahiran masing-masing, di sekitar perairan barat dan selatan Pulau Pinang.
Afizan yang turut dikenali sebagai Tekong Bot Biru berkata, dia menawarkan perkhidmatan sewaan bot pancing sejak dua tahun lalu selepas mendapat banyak permintaan daripada rakan-rakan yang mahu menggunakan bot biru miliknya.
Dia yang juga seorang kerani kini hampir saban minggu membawa pemancing di kawasan kapal karam dikenali sebagai kawasan Kapal Rusia; Kapal Jepun; Kapal Taiwan; Haguro dan Sun Vista dalam kalangan pemancing.
“Trip yang saya tawarkan hanya pada setiap hujung minggu dan pada musim cuti perayaan memandangkan saya masih bekerja.
“Sambutan orang ramai terutama pemancing tegar sangat menggalakkan dan ketika cuti sekolah, trip memancing habis ditempah sejak awal bulan,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, pemancing yang memilih perkhidmatan Bot Biru kendaliannya menaiki bot di jeti di Kuala Sungai Burung; Pantai Malindo dan Balik Pulau sebelum dibawa ke kawasan kapal-kapal karam berkenaan.
”Di kawasan kapal karam ini kemahiran pemancing diuji untuk menjinakkan spesies-spesies ikan gred A seperti kerapu, jenahak, red snapper dan tenggiri,” katanya.
Tambahnya, selain membawa trip pemancing ke kawasan kapal karam dia turut membawa mereka ke kawasan unjam-unjam yang banyak terdapat di perairan Pulau Pinang seperti di Pulau Kendi dan kawasan lain.
”Ikan yang dipancing akan dimasak kari dan pemancing boleh merasai sendiri bagaimana keenakkan ikan segar yang dimasak di atas laut,” katanya. – UTUSAN