TUMPAT: Dua lelaki lari lintang-pukang dengan meninggalkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang sarat dengan 1,041 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi selepas aktiviti penyeludupan dilakukan mereka berjaya di kesan anggota penguat kuasa di sini hari ini.
Kedua-dua suspek bertindak meninggalkan kereta tersebut di belakang sebuah klinik kesihatan berhampiran Taman Perumahan SBJ, Pasir Pekan pada pukul 11.40 pagi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP) negeri, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota telah mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Pekan.
Menurutnya, menyedari kehadiran anggota penguat kuasa KPDNHEP kereta tersebut bertindak memecut laju menghala ke arah Taman SBJ.
“Setiba di lokasi, kedua-dua suspek bertindak meninggalkan kereta tersebut dan melarikan diri dalam semak berhampiran seterusnya gagal dikesan.
“Pemeriksaan ke atas kereta tersebut menjumpai 1,041 kg minyak yang disyaki mahu diseludup ke negara jiran melalui pengkalan haram di kawasan Pengkalan Kubor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman memberitahu, nilai rampasan minyak masak peket itu dianggarkan berjumlah RM2,602.50.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan. – UTUSAN










