KANGAR: Pelbagai inovasi dilakukan Thailand melalui produk-produk berasaskan ganja yang dihasilkan boleh menarik ramai pelancong termasuk dari Malaysia mencuba barang terlarang itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kajian dan Strategik Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohd. Mizan Aslam berkata, situasi tersebut bakal memberi kesan kepada peningkatan kadar keterlibatan rakyat negara ini dalam pengambilan ganja di negara jiran itu.
Katanya, antara produk-produk berasaskan ganja yang dikenal pasti seperti kopi, kek, biskut, keropok, minuman dan makanan yang mendorong pelancong merasai pengalaman baharu mencuba ganja yang tidak dapat dirasai di Malaysia.
“Inovasi yang dilakukan Thailand terutama penduduk mereka itu melariskan perniagaan dengan menyasarkan pelancong termasuk dari Malaysia.
“Malah, dalam laporan sebelum ini sebanyak 20 peratus daripada 70 individu yang disaring positif menunjukkan perkara itu berlaku dan ia dijangka bertambah terutama apabila inovasi dalam dalam produk berasaskan ganja ini berlaku secara besar-besaran di Thailand.
“Masyarakat kita yang juga sebagai pelancong tentu teruja untuk mencuba produk-produk baharu berasaskan ganja ini sebagai pengalaman baharu yang pasti tidak dapat dirasai di negara ini.
“Ini adalah kesan akibat daripada perubahan undang-undang dilakukan negara jiran. Saya tegaskan sebelum ini apabila negara jiran mengambil pendekatan begitu drastik menghalalkan ganja, maka pasti kesan itu akan berlaku ke atas rakyat negara ini,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) dan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad Padang Besar di sini sesak teruk berikutan orang rami mengambil kesempatan cuti Hari Malaysia dan hujung minggu untuk ke Thailand.
Difahamkan orang ramai beratur seawal pukul 6 pagi di pos sempadan imigresen Malaysia-Thailand itu untuk proses dokumentasi dengan mengambil masa sekitar sejam setengah atau dua jam.
Sebelum ini, polis negeri menegaskan mana-mana rakyat Malaysia dengan sengaja mencuba dan mengambil dadah atau apa-apa produk berkaitan ganja yang menyebabkan khayal akan didapati bersalah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tegas Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad, individu yang membawa masuk produk berasaskan ganja juga merupakan kesalahan di bawah akta yang sama dan akan dituduh memiliki dadah atau mengedar dadah jika dalam kuantiti yang besar.
Tambah Mohd. Mizan, hal demikian daripada sudut penggunaan dan bagaimana pula dengan aktiviti penyeludupan, penanaman dan penjualan ekoran langkah Thailand ‘menghalalkan’ ganja berkenaan.
“Semua perkara ini akan meningkat mendadak dan situasi ini tidak berapa baik untuk negara.
“Salah satu solusi yang perlu diambil kerajaan adalah dengan menyemak semula peruntukan undang-undang berkait ganja ini dan sudah sampai masanya kita harus bergerak seiring agar kita dapat menangani isu ini dengan sebaik mungkin.
“Jika tidak kita akan sentiasa berada di pihak yang bertahan dengan perubahan berlaku di sekitar kita iaitu di negara jiran. Rakyat akan terdedah ke negara jiran dan terlibat dengan penggunaan ganja ini.
“Thailand adalah negara pertama di Asia yang membenarkan ganja ini seterusnya memastikan industri pelancongan mereka terus melonjak naik,” katanya. – UTUSAN