Penduduk Gaza kebuluran akibat sekatan Israel

Penduduk Gaza kebuluran akibat sekatan Israel

Islamic Relief
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Penduduk Gaza kini berada di ambang kebuluran apabila Israel terus mengenakan sekatan penuh ke atas wilayah itu sejak hampir dua bulan lalu dan menyaksikan kanak-kanak kekurangan zat makanan serta berlaku krisis kelaparan.

Menurut Islamic Relief, keadaan terkini merupakan yang paling buruk pernah disaksikan apabila ribuan kanak-kanak berdepan hari tanpa makanan sementara lori bantuan yang sarat dengan bekalan dihalang masuk hanya beberapa kilometer dari sempadan.

“Barangan keperluan seperti daging, telur dan produk tenusu kini hampir mustahil diperoleh. Harga sayur-sayuran pula melonjak sehingga 15 kali ganda. Dalam masa sama, majoriti rakyat Gaza kehilangan pekerjaan dan pendapatan, sekali gus menambah derita dalam mendapatkan makanan harian.

“Lebih 18 bulan serangan tanpa henti turut memusnahkan sebahagian besar tanah pertanian, rumah hijau dan bot nelayan, manakala haiwan ternakan banyak yang terbunuh. Penduduk kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan yang turut dinafikan apabila semua laluan masuk ditutup sejak 2 Mac lalu”, katanya dalam kenyataan. 

Sebelum ini, situasi kemanusiaan di wilayah bergolak itu dilaporkan berada pada tahap paling kritikal dan hanya bantuan segera mampu meredakan keadaan yang kian meruncing. 

Tinjauan terhadap 43 agensi bantuan mendapati 95 peratus daripadanya terpaksa menghentikan atau mengurangkan operasi berikutan pengeboman berterusan yang telah mengorbankan lebih 51,000 nyawa serta memusnahkan hospital dan tempat perlindungan.

Islamic Relief memaklumkan, kekurangan zat makanan dan penyebaran penyakit menjadi lebih serius apabila bekalan perubatan dan bahan api disekat. 

“Dalam seminggu lalu, Islamic Relief dan Program Makanan Sedunia (WFP) mengagihkan biskut berkalori tinggi, bar kurma dan minyak sayuran kepada lebih 7,000 orang setiap hari. Namun, bantuan tersebut masih belum mencukupi dan tidak mampu menggantikan makanan berkhasiat.

“Ratusan ribu penduduk turut dipaksa berpindah ke kawasan sempit yang tiada air bersih dan sistem sanitasi, tanpa sebarang jaminan keselamatan. Hampir 70 peratus kawasan Gaza diisytihar sebagai kawasan larangan menerusi pemindahan paksa dan zon ketenteraan,” katanya.

Justeru itu, Islamic Relief menggesa gencatan senjata berkekalan perlu dilaksanakan segera dan masyarakat antarabangsa perlu menghentikan penjualan senjata serta mengenakan tekanan terhadap Israel agar membuka semula laluan bantuan dan mematuhi undang-undang antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN