Man United ‘bakar’ RM88 juta pecat Amorim

Man United ‘bakar’ RM88 juta pecat Amorim

Ruben Amorim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Manchester United terpaksa menanggung kerugian besar apabila keputusan memecat pengendali Portugal, Ruben Amorim bersama barisan kejurulatihannya menelan kos mencecah 16.7 juta pound (RM88.9 juta).

Jumlah tersebut didedahkan menerusi laporan kewangan kelab yang diterbitkan semalam selepas Amorim disingkirkan pada Januari lalu ketika kontraknya masih berbaki 18 bulan di Old Trafford.

Tindakan itu sekali lagi menambahkan beban kewangan United selepas sebelum ini kelab gergasi England tersebut turut membayar 14.5 juta pound (RM77.2 juta) bagi menamatkan kontrak bekas pengurus, Erik ten Hag dan stafnya pada 2025.

Bagaimanapun, keputusan tersebut dilihat berbaloi apabila pengganti sementara, Michael Carrick berjaya mengubah prestasi United sehingga menamatkan musim di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus mengesahkan tiket ke Liga Juara-juara musim depan.

Amorim sebelum itu meninggalkan United dalam keadaan cukup mengecewakan apabila skuad Red Devils terperosok di tangga ke-15 liga iaitu pencapaian terburuk mereka sejak tersingkir dari divisyen utama pada 1974.

Laporan kewangan sama turut menunjukkan pendapatan penyiaran United meningkat lebih 57 peratus kepada 64.9 juta pound (RM345 juta) hasil jangkaan ganjaran penamat liga dan kelayakan ke Liga Juara-Juara.

United juga mencatat keuntungan operasi sebanyak 37.7 juta pound (RM200 juta) bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac lalu berbanding kerugian 3.2 juta pound (RM17 juta) untuk tempoh sama musim sebelumnya.

Namun di sebalik peningkatan tersebut, kelab milik keluarga Glazer itu masih dibelenggu hutang besar apabila pinjaman jangka pendek mereka kini mencecah 262.5 juta pound (RM1.4 bilion) selepas meningkat hampir 50 juta pound (RM266 juta) berbanding tahun lalu. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN