TOKYO: Seorang pelajar universiti warga China diselamatkan dua kali dalam tempoh seminggu di Gunung Fuji ketika cuba mendapatkan semula telefon bimbitnya yang tertinggal.
Pelajar berusia 27 tahun yang tidak didedahkan identitinya itu, sebelum ini diselamatkan menerusi operasi udara di gunung tertinggi Jepun itu pada minggu lalu, sebelum menjadi subjek pencarian sekali lagi hanya empat hari kemudian.
Menurut laporan media tempatan, pelajar berkenaan kembali ke lokasi penyelamatannya yang pertama untuk mengambil semula telefon dan beberapa barangan peribadi lain yang tertinggal.
Dia ditemukan pada Sabtu lalu oleh seorang pendaki lain yang sedang mendaki di luar musim, di laluan lebih 3,000 meter dari paras laut.
“Dia disyaki mengalami masalah kesihatan akibat altitud gunung dan dibawa ke hospital,” kata jurucakap polis pada Isnin.
Pihak berkuasa kemudian mengesahkan lelaki itu adalah individu yang sama diselamatkan menggunakan helikopter beberapa hari sebelum itu, lapor penyiar TBS.
Insiden ini sekali lagi mengingatkan orang ramai mengenai bahaya mendaki Gunung Fuji tanpa persiapan rapi, terutamanya ketika musim luar yang boleh mendatangkan risiko berbahaya akibat keadaan cuaca dan permukaan cerun yang sukar diramal.
Gunung Fuji, yang merupakan gunung berapi aktif dan kali terakhir meletus pada tahun 1707, dilitupi salji hampir sepanjang tahun dan hanya dibuka secara rasmi untuk pendakian antara awal Julai hingga awal September.
Ramai pendaki memilih untuk hanya mendaki separuh perjalanan, sementara sebahagian lagi sanggup menempuh laluan berbatu pada waktu malam untuk menikmati pemandangan matahari terbit dari puncak. -AGENSI