Pendakwaan tutup kes pecah amanah, pengubahan wang haram

Pendakwaan tutup kes pecah amanah, pengubahan wang haram RM1j Syed Saddiq

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas memanggil 30 orang saksi, pihak pendakwaan dalam kes pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membabitkan wang RM1 juta milik sebuah parti politik menutup kes mereka hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai barisan pasukan pendakwaan memaklumkan perkara tersebut selepas memanggil semula tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Mohd. Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip untuk disoal balas pasukan pembelaan. 

Tambahnya, pendakwaan mengambil masa kurang daripada sebulan untuk diselesaikan.

Perbicaraan itu bermula pada 21 Jun lalu.

Selain itu, pihak pendakwaan menawarkan 13 saksi kepada pasukan pembelaan.

“Yang Arif, kami dengan ini menutup kes kami dan saya menawarkan saksi-saksi berikut untuk memberi keterangan kepada pasukan pembelaan,” katanya pada prosiding hari ini. 

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian 6 dan 7 Oktober ini untuk pendengaran hujahan lisan di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, yang didakwa atas empat pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana berjumlah RM1 juta milik parti itu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.