Pemisahan peranan AG, pendakwa raya antara agenda KRPPM - Utusan Malaysia

Pemisahan peranan AG, pendakwa raya antara agenda KRPPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemisahan peranan Peguam Negara daripada peranan pendakwa raya merupakan antara agenda Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah.

Kumpulan itu yang dipengerusikan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, fokus penubuhan KRPPM adalah untuk memastikan perubahan sistemik dan legislatif bagi mempertingkat integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah di negara ini.

“KRPPM menyasarkan kebebasan institusi kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memisahkan peranan Peguam Negara daripada peranan pendakwa raya.

“Penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga adalah antara tumpuan KRPPM dalam usaha ini. Selain daripada itu, KRPPM mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Tetap Dewan Rakyat bagi SPRM dan SPR,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, KRPPM menyatakan komitmen menyeluruh setiap anggota demi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa melalui penggubalan dan pemerkasaan dasar serta penambahbaikan polisi bersama program kesedaran dan advokasi kemasyarakatan yang berterusan.

“Bersesuaian dengan kehendak rakyat dalam masa yang kritikal sebelum Parlimen ini dibubarkan, KRPPM berharap untuk mendapat kerjasama Perdana Menteri dan pentadbirannya, Speaker, Peguam Negara, ahli Parlimen dan parti politik bagi menjayakan usaha dan objektif KRPPM,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Dewan Rakyat meluluskan penubuhan KRPPM Integriti, Governan dan Anti Rasuah yang dianggotai lapan Ahli Parlimen dalam kalangan kerajaan dan pembangkang.

KRPPM turut dianggotai kumpulan seperti Rasuah Busters, Transparency International Malaysia, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Patriot, Undi18, dan pakar seperti Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar, Tan Sri Nazir Tun Razak dan Datuk Hussamuddin Yaacub. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya