HULU TERENGGANU: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan aktiviti pembalakan berhampiran Air Terjun Sungai Lasir, Tasik Kenyir di sini dihentikan sementara berkuat kuasa, semalam.
Tindakan tersebut diambil selepas Utusan Malaysia semalam melaporkan air terjun tersebut keruh dan berkeladak akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.
Bagaimanapun arahan JPNT itu bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semalam yang menafikan air keruh di air terjun itu berpunca daripada kerja-kerja pembalakan.
Keputusan yang diambil jabatan itu dimaklumkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong,.
Menurut beliau, tindakan segera itu diambil untuk memastikan air terjun tersebut kembali berada dalam keadaan jernih.
Katanya, aktiviti pembalakan tersebut dilakukan di kawasan kira-kira empat kilometer dari hulu Sungai Lasir.
“Pembalakan di kawasan itu akan dihentikan sehingga keadaan cuaca mengizinkan kembali,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Latihan Reskill dan Upskill Ekopelancongan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Kursus Asas Juru Padu @ Geoguide Aspiring Kenyir Geopark di Tasik Kenyir di sini, semalam.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kerajaan negeri menafikan air yang keruh dan berkeladak di Air Terjun Sungai Lasir, Tasik kenyir berpunca daripada aktiviti pembalakan.
Ahmad Samsuri berkata, situasi itu disebabkan hujan lebat yang berlaku dan aliran deras yang berlaku dari bukit sebelum memasuki memasuki sungai dan tasik.
Semalam, Utusan Malaysia juga melaporkan keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir lokasi tarikan pelancong di Terengganu ‘merosot’ apabila airnya keruh dan berkeladak dipercayai akibat aktiviti pembalakan.
Jika perkara itu tidak ditangani, Tasik Kenyir akan hilang ‘serinya’, seterusnya hilang tarikan sebagai kawasan pelancongan.
Keadaan tersebut membimbangkan pengusaha bot dan penduduk kerana jika dibiarkan berterusan, ia akan menjejaskan industri pelancongan di Tasik Kenyir.
Sulaiman memberitahu, air terjun tersebut menjadi keruh dan berkeladak setelah berlaku hakisan tanah di kawasan pembalakan.
“Tanah runtuh itu berlaku kerana sekarang merupakan musim hujan,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pemandu pelancongan Alam Semulajadi Negeri Terengganu, Mohd. Khairul Abu Bakar berkata, aktiviti pembalakan berhampiran kawasan tumpuan pelancong di tasik ini sepatutnya dikawal untuk mengelakkan berlaku pencemaran alam sekitar.
Menurutnya, kebanyakan kawasan di tasik ini mempunyai khazanah alam yang berharga dan patut dipulihara sebagai tarikan pelancong.
“Keputusan JPNT mengarahkan pembalakan berhampiran Air Terjun Sungai Lasir adalah tepat untuk memastikan air terjun tersebut sentiasa jernih dan bersih,” katanya.- UTUSAN










