JOHOR BAHRU: Pas didakwa takut arus politik semasa menghanyutkan dan menghancurkan kuasa serta pengaruh parti itu sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Pas akan cuba menggunakan pelbagai taktik dan alasan untuk melambat-lambatkan PRU15 supaya dapat mengukuhkan kedudukan mereka.
Oleh sebab itu, Pas serta parti pembangkang lain kecoh apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti sanggup redah banjir sekiranya PRU15 diadakan ketika musim tengkujuh.
“Mereka memberi macam-macam alasan dan hujah supaya PRU15 tak diadakan dalam masa terdekat. Kononnya nanti akan susahkan rakyat kalau buat hari mengundi dalam musim tengkujuh dan jentera kerajaan serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tak dapat nak fokus.
“Bagi saya kenyataan Presiden UMNO itu cuma satu penyataan metafora yang nak tunjuk kepada Perdana Menteri dan parti lain bahawa UMNO sudah bersedia pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan untuk berdepan dengan PRU15 ini.
“Tapi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) termasuk juga Pas sudah kecoh macam ayam telur sebiji tapi riuh sekampung.
Mulalah masing-masing keluarkan kenyataan dan berita amaran serta persiapan banjir kononnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nur Jazlan berkata, ura-ura PRU15 diadakan hujung tahun ini menyebabkan berita-berita tentang banjir tahun ini begitu meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, Pas takut banjir politik melanda kerajaan mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah jika PRU15 diadakan segera.
“Sebenarnya Pas bukan risau sangat pasal masalah banjir di Kelantan dan Terengganu sebab kebiasaannya kemuncak musim tengkujuh di dua negeri itu pada akhir Disember hingga penghujung bulan Februari.
“Mereka takut rakyat singkirkan mereka kerana arus perubahan sudah cukup kuat bertiup di tiga negeri itu sebab rakyat sudah hilang kepercayaan kepada sikap hipokrit serta kegagalan pemimpin Pas dalam mentadbir negeri,” ujarnya. – UTUSAN