IPOH: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa menyiasat projek pembinaan tiga kapal peronda pesisir pantai (OPV) yang belum diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, kontrak untuk membina kapal-kapal tersebut diberikan kepada TH Heavy Engineering Berhad (TH Heavy) dan kapal sepatutnya diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 2020 secara berperingkat.
Menurutnya, beliau dimaklumkan projek pembinaan itu bernilai RM738.9 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan namun tiada kapal yang diterima oleh Maritim Malaysia.
“Apabila RM500 juta telah dibelanjakan tanpa satu kapal pun sampai, ini sangat membimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, wujud beberapa perkara meragukan berhubung pemberian kontrak itu kepada TH Heavy yang tidak mempunyai kepakaran membina kapal.
Katanya, ini menyebabkan TH Heavy yang mendapat kontrak itu pada 2017 diletakkan syarat perlu buat kerjasama dengan satu syarikat lain.
“TH Heavy kena cari pakar dalam pembinaan kapal ini, maka berlakulah kerjasama di antara TH Heavy yang memiliki 49 peratus pegangan dan satu syarikat iaitu Destini Sdn. Bhd. yang memiliki 51 peratus pegangan di dalam projek ini,” katanya.
Menurutnya, dua pemimpin ketika itu didakwa mengetahui TH Heavy tidak mempunyai kepakaran membina kapal tetapi tetap menganugerahkan kontrak berkenaan.
“Saya menuntut satu siasatan daripada PAC untuk disegerakan berhubung kelewatan projek ini, saya khuatir projek ini lebih kurang sama dengan kapal tempur pesisir pantai (LCS), lambat kerana ada masalah,” katanya.
Menurut Mujahid, ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 2018, TH Heavy diletakkan sebagai salah satu daripada 29 syarikat ‘sakit’ di bawah TH.
“Walaupun TH mempunyai 30 peratus pegangan saham TH Heavy, syarikat tersebut terpaksa dipindahkan ke syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Perbadanan Menteri Kewangan bagi menyelamatkan TH,” katanya.
Mujahid mahu pihak berkaitan termasuk kerajaan menjawab persoalan mengenai pemberian kontrak dan kegagalan menyiapkan aset keselamatan negara dalam projek itu. – UTUSAN










