PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerbu sebuah syarikat pengendali e-hailing yang tamat tempoh permit di ibu negara baru-baru ini.
Serbuan oleh pasukan Bahagian Penguatkuasaan agensi tersebut ke atas syarikat In Driver di Bukit Bintang itu telah dilakukan menerusi Ops e-Hailing hasil maklumat daripada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (APAD).
Dalam satu kenyataan, syarikat berkenaan didapati beroperasi dengan lesen perniagaan yang sudah habis tempoh dan disiasat di bawah Seksyen 222 Akta APAD 2010.
“Pihak JPJ menyita beberapa komputer serta pelbagai barangan pengiklanan operasi In Driver untuk siasatan lanjut,’’ kata kenyataan itu.
Jika disabitkan kesalahan, operator tersebut boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain Akta APAD 2010, operator terbabit turut boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.
Orang awam yang menjadi penumpang perkhidmatan pengantaraan turut dinasihatkan agar sentiasa memastikan aplikasi digunakan operator tersebut adalah berdaftar dan dilesenkan.- UTUSAN










