Operasi kesan helikopter Eurocopter EC120B disambung hari ini

Operasi kesan helikopter Eurocopter EC120B disambung hari ini – Polis

ANGGOTA pasukan keselamatan bersiap sedia untuk operasi mencari dan menyelamat juruterbang bersama helikopter yang disyaki hilang di Hutan Simpan Chikus dekat Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Operasi mengesan helikopter jenis Eurocopter EC120B yang ‘hilang’ daripada radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam, disambung pada pukul 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, operasi itu melibatkan kekuatan seramai 10 pegawai dan 197 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Jabatan Perhutanan.

“Operasi pencarian dibahagikan kepada lima kumpulan melibatkan pelbagai agensi penyelamat di dua sektor iaitu di Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan.

“Operasi mencari mangsa dijalankan dalam radius lima kilometer dari lokasi terakhir helikopter mangsa dikesan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC),” katanya ketika ditemui di Balai Polis Bidor di sini hari ini.

Menurut beliau, sebuah helikopter dari Unit Udara PDRM turut diterbangkan dalam operasi berkenaan.

Penerbangan helikopter Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH milik syarikat swasta itu dilaporkan gagal dihubungi KLATCC pada pukul 12.16 tengah hari semalam.

Helikopter yang dikendalikan seorang juruterbang dipercayai bukan warga tempatan itu berlepas dari Subang pada pukul 11.37 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3 petang di mana lokasi terakhir helikopter dikesan berhampiran Hutan Simpan Chikus.

Katanya, atur gerak pencarian dijalankan di kawasan sempadan Hilir Perak dan Bidor bagi mengesan helikopter dan juruterbang.

“Kita juga menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan mendengar bunyi kuat helikopter terbang rendah di kawasan belakang rumah di Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan.

“Pasukan penyelamat akan menumpukan carian di Hutan Simpan Chikus yang merupakan lokasi terakhir helikopter dikesan pusat kawalan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya