ANALISIS
DENGAN UMNO dan Pas hampir pasti bertembung antara satu sama lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), maka perebutan di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundi Melayu di Pulau Pinang kini kembali terbuka dan boleh dimenangi mana-mana parti.
Sebelum ini atau lebih tepat ketika kerjasama antara UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) masih kuat, sebahagian besar daripada kerusi DUN majoriti Melayu itu dilihat mampu dimenangi calon sama ada UMNO atau Pas.
Malah statistik keputusan PRU14 menunjukkan sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN majoriti Melayu itu mampu dimenangi sama ada UMNO atau Pas berdasarkan jumlah undi diterima calon parti terbabit.
Namun disebabkan pertandingan tiga penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), kesemua kerusi itu dimenangi PH dengan majoriti yang tidak begitu selesa hasil bantuan pengundi bukan Melayu.
Melihat kepada situasi politik ketika ini menjelang PRU15, senario sama seperti PRU14 nampaknya bakal berulang.
UMNO dan Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu terima hakikat mereka tidak mempunyai jaminan menang di kerusi majoriti Melayu jika mahu melawan sesama sendiri dan berdepan pertandingan tiga penjuru.
Situasi itu sesuatu yang malang buat pengundi Melayu untuk melihat lebih ramai wakil rakyat yang boleh membawa suara dan permasalahan mereka dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia juga memudahkan lagi PH memperkukuh kuasa di Pulau Pinang seperti mana ketika menguasai 37 daripada 40 kerusi DUN selepas PRU14 (sebelum episod ADUN lompat parti).
Sebab itu pemimpin UMNO dan Pas serta PN khususnya di Pulau Pinang perlu berjiwa besar membuat pertimbangan politik di Pulau Pinang.
Orang Melayu Pulau Pinang tidak sepatutnya diheret dan menjadi mangsa pergeseran politik antara parti terbesar Melayu di peringkat Pusat ketika mereka begitu mengharapkan kerjasama di negeri.
Strategi ketika ini adalah supaya menempatkan lebih ramai wakil rakyat Melayu dalam sidang DUN yang sangat penting sebagai suara semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan DAP khususnya berkaitan isu melibatkan kepentingan Islam dan orang Melayu, malah isu umum lainnya.
Apatah lagi DAP Pulau Pinang ketika ini dilihat mahu memperluas kuasa mereka selepas mahu bertanding di lebih banyak kerusi DUN berbanding hanya 19 kerusi dalam PRU14.
Ini bermakna besar kemungkinan DAP akan turut meletakkan calon Melayu sekali gus membuka ruang persaingan lebih besar di kerusi berkenaan.
Pemimpin UMNO, Pas dan Bersatu wajar berasa malu dan mengakui kelemahan sekiranya calon Melayu DAP kelak menang di kerusi majoriti Melayu hanya kerana pergeseran politik sesama mereka.
Sejak 2008, DAP mencatatkan kemenangan 100 peratus di kesemua kerusi DUN yang ditandinginya di Pulau Pinang dan hanya memerlukan 21 kerusi untuk terus mengekalkan kerajaan negeri. – UTUSAN