KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membeli ubat sendiri sekiranya tidak mahu menerima ubat yang dibekalkan Kementerian Kesihatan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana ia dibenarkan dan tidak menjadi masalah dalam prosedur penjara.
“Dalam prosedur penjara, sekiranya banduan sanggup membeli bekalan ubat sendiri dan tidak mahu menerima ubat dibekalkan KKM, saya difahamkan ia boleh dibenarkan dan tidak ada masalah.
“Saya telah memaklumkan kepada keluarga dan sekiranya mereka mahu bekalkan ubat berjenama itu kepada Najib, tidak jadi masalah,” katanya selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan dan IHH Healthcare Malaysia di sebuah hospital, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim supaya Kementerian Kesihatan memberikan ubat yang selalu digunakan kepada Najib.
Zaid berharap Khairy dapat memastikan Najib Razak diberi ubatan yang sesuai dengan penyakitnya.
Mengulas lanjut, Khairy bagaimanapun berkata, tidak timbul Kementerian Kesihatan menafikan keperluan Ahli Parlimen Pekan itu meskipun tidak memberi ubat yang sama digunakannya.
“Pada hari tersebut kita bagi apa yang kita ada, jadi tak timbul kita menafikan dia. Amalan biasa hospital kerajaan, sebelum kita discaj pesakit, kita akan hantar dia balik dengan bekalan ubat yang dikeluarkan oleh farmasi hospital, jadi kami bekalkan ubat yang ada,” katanya.
Dalam perkembangan lain, sebanyak 500 pesakit kanser hospital kerajaan bakal mendapat perkhidmatan percuma bagi rawatan radioterapi dan radiosurgeri.
Mereka akan dikenal pasti dan dirujuk oleh Kementerian Kesihatan dan bakal menerima rawatan di tujuh rangkaian hospital IHH Healthcare Malaysia yang dilengkapi dengan teknologi terkini. – UTUSAN










